JELUKONG: Kawasan Rehat dan Hentian (R&R) Jelukong di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo perlu terus diperkasa bagi memastikan kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan pengguna jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kemudahan R&R yang mencukupi, selamat dan selesa penting bagi menyokong kelancaran perjalanan pengguna, khususnya mereka yang menempuh perjalanan jarak jauh.
Menurutnya, R&R memainkan peranan penting dalam memastikan pengguna mempunyai lokasi sesuai untuk berhenti, berehat dan meneruskan perjalanan dalam keadaan lebih selamat.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke R&R Jelukong, semalam, bagi meninjau kemudahan serta keadaan keseluruhan kawasan berkenaan.

Dalam lawatan itu, beliau menerima taklimat daripada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkaitan kemudahan sedia ada, penyelenggaraan dan operasi R&R Jelukong.
Beliau turut meninjau susun atur serta kemudahan yang disediakan di R&R berkenaan selain bertukar pandangan dengan pegawai mengenai penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
Katanya, aspek keselesaan, kemudahan dan keselamatan pengguna perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan R&R Jelukong dapat berfungsi dengan baik sebagai lokasi persinggahan pengguna Lebuh Raya Pan Borneo.
“Keletihan pemandu masih menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya, khususnya bagi perjalanan jarak jauh.
“Saya menggalakkan semua pengguna jalan raya, terutama mereka yang melakukan perjalanan jauh, supaya berhenti dan berehat apabila berasa letih dan tidak meneruskan perjalanan dalam keadaan tersebut,” jelasnya.
Lawatan itu turut susulan sesi libat urus MOTS bersama pihak berkepentingan industri pengangkutan baru-baru ini berkaitan perancangan dan penambahbaikan R&R serta hentian di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo.
Tegas beliau, MOTS akan terus bekerjasama dengan JKR Sarawak dan agensi berkaitan bagi memastikan R&R di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo kekal selamat, berfungsi dan diselenggara dengan baik.




