BEKENU: Pertanian merupakan satu perniagaan dan ambil peluang untuk memajukan diri anda, kata Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Rosey Yunus di sini semalam.
Rosey yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, banyak peluang dalam bidang pertanian yang boleh memajukan ekonomi masyarakat di kawasan luar bandar.
Katanya, gunakan sumber kursus yang sudah ada dan pelajari serta usahakannya melalui bantuan Kerajaan Sarawak.
“Program jangkauan peluasan komuniti (CEOP) dilaksanakan atas dasar Kerajaan Sarawak untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian (khususnya Kerajaan) dan golongan keluarga tani di kawasan pedalaman.
“Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Kewangan
Kedua/ MANRED telah meluluskan peruntukan AFF sejumlah RM9 juta, khas untuk program tersebut pada awal tahun 2020,” jelasnya.
Sehubungan itu, program ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian mengikut kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pedalaman dan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diperuntukan sejumlah RM120 ribu untuk melaksanakan beberapa kursus dan latihan kepada para petani.
Tambahnya, objektif program ialah memberikan pendedahan secara langsung mengenai teknologi pertanian yang terkini kepada golongan sasar melalui syarahan, pameran dan juga model serta demonstrasi pertanian.
“Pada masa yang sama ia mningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran pelbagai golongan sasar dalam sektor/industri pertanian sekali gus meningkatkan pengeluaran dan kualiti hasil serta produk pertanian.
“Selain itu, ia menambahkan pendapatan dan sosio ekonomi golongan sasar di samping merapatkan hubungan kerajaan melalui Jabatan Pertanian dengan golongan petani dan rakyat umumnya,” katanya lagi. Turut hadir wakil pegawai pertanian Bahagian Miri Hafriz Razak, Pegawai Tadbir Daerah Subis Dr. James Jam Jolly dan ketua-ketua masyarakat setempat.
Oleh Adum Liu