GIORGIO Chiellini mendahulu ketika pemain Juventus kembali ke latihan individu di pusat sukan pasukan pada hari Rabu, sementara Cristiano Ronaldo memulakan kuarantin Covid-19 dua minggu setelah kembali ke Itali.
Kapten Chiellini, 35, tiba lebih awal dengan pemain pertahanan Itali Leonardo Bonucci, memakai topeng muka hitam, sejurus selepas pemain tengah Aaron Ramsey. Playmaker Miralem Pjanic muncul pada sebelah petang, bersama Juan Cuadrado, Mattia De Sciglio, Federico Bernardeschi dan Daniele Rugani.
Juara Serie A, Juve berkata sesi latihan, yang dibenarkan setelah menerima lampu hijau Ahad lepas daripada kementerian dalam negeri Itali, “akan berlangsung secara individu dan dengan kedatangan secara berperingkat untuk membolehkan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan yang dikenakan”.
“Setelah seharian menjalani ujian dan pemeriksaan di J Medical, beberapa pemain Juventus memulakan latihan di Pusat Latihan Continassa, di mana mereka secara rasmi memulakan pemulihan mereka untuk mendapatkan kembali prestasi yang kompetitif,” tambah Juve.
Kepulangan Ronaldo lebih tidak menentu setelah dua bulan terkurung di pulau asalnya, Madeira, setelah bermain dalam perlawanan terakhir Juventus menentang Inter Milan pada 8 Mac dalam stadium kosong.
Pemenang Ballon d’Or lima kali itu kembali bersama keluarganya ke Turin dengan jet peribadi pada hari Isnin, dan dalam kuarantin menunggu ujian.
Kebemaran kementerian dalam negeri telah membolehkan pemain kembali ke pusat latihan kelab dua minggu lebih awal daripada yang dijadualkan, memberikan harapan yang cerah bahawa musim 2019-20 mungkin dapat diselamatkan.
Seperti juga Juventus, kelab teratas Atalanta, Bologna dan Udinese juga kembali menjalani latihan pada hari Selasa, dengan Sassuolo dan Lecce mendahului pada hari Isnin.
Tetapi menteri sukan Vincenzo Spadafora memberi amaran bahawa latihan dalam kumpulan mesti menunggu sehingga 18 Mei, dan masih tidak dapat dipastikan adakah perlawanan dapat dimulakan semula ketika negara itu memerangi wabak Covid-19 yang telah membunuh lebih dari 29,000 orang di Itali. – AFP