Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Ronaldo dibuang padang, Ireland kejutkan Portugal dalam kelayakan Piala Dunia
  • SUKAN

Ronaldo dibuang padang, Ireland kejutkan Portugal dalam kelayakan Piala Dunia

Utusan Sarawak 1 day ago
PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo, dibuang padang ketika pasukannya tewas kepada Ireland dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi. Foto AFP

DUBLIN: Cristiano Ronaldo dibuang padang kerana menyiku ketika Portugal tewas 2-0 kepada Ireland awal pagi tadi, sekali gus mensia-siakan peluang lagi untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.

Troy Parrott meledak dua gol pada separuh masa pertama untuk menghidupkan harapan Ireland mara ke kejohanan musim panas depan dengan kemenangan bersejarah menentang Ronaldo dan rakan sepasukannya dalam aksi Kumpulan F.

Ketika Portugal mengejar peluang untuk bangkit dalam perlawanan itu, kapten mereka yang kecewa, Ronaldo, dibuang padang kerana menyiku Dara O’Shea dari belakang.

Portugal masih mendahului kumpulan dengan 10 mata, dua di hadapan Hungary dan tiga di hadapan Ireland, dengan satu baki perlawanan pada Ahad.

Pasukan yang menamatkan saingan di tangga teratas layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan di tempat kedua ke pusingan play-off.

“Ini mungkin malam terbaik dalam seluruh hidup saya, saya tiada kata-kata untuk menggambarkannya,” kata penyerang AZ Alkmaar, Parrott, kepada RTE.

“Saya sangat terharu… saya tak tahu nak guna perkataan apa, tapi saya benar-benar gembira.”

Skuad kendalian Martinez terlepas satu peluang untuk layak pada Oktober ketika mereka seri dengan Hungary, dan satu lagi kesempatan hilang di Stadium Aviva apabila Ireland mencatat kemenangan yang tidak akan dilupakan.

Pasukan Heimir Hallgrimsson sedar mereka perlu mengelakkan kekalahan untuk kekal berpeluang layak selepas Hungary, di tempat kedua, menewaskan Armenia 1-0 lebih awal dalam aksi Kumpulan F.

Kali terakhir Ireland layak ke Piala Dunia ialah pada 2002.

Portugal menguasai permainan pada peringkat awal perlawanan ketika Ireland bertahan dan menunggu peluang untuk melakukan serangan balas.

Parrott meletakkan Ireland di depan secara mengejut pada minit ke-17 hasil tandukan jarak dekat selepas Liam Scales menanduk bola melintasi muka gol daripada sepakan sudut.

Joao Neves melepaskan percubaan sipi dan Joao Felix menanduk bola melepasi palang ketika Portugal mencari gol penyamaan dan meningkatkan tekanan.

Chiedozie Ogbene hampir menggandakan kelebihan Ireland dengan satu percubaan yang mengenai tiang di hadapan penyokong tuan rumah yang bersemangat.

Parrott menggandakan kelebihan Ireland pada penghujung babak pertama selepas memotong dari sebelah kiri dan melepaskan rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Diogo Costa di tiang dekat.

Ronaldo dilayangkan kad merah

Ireland sekali lagi dipaksa bertahan selepas rehat tetapi dibantu oleh kad merah Ronaldo pada minit ke-60.

Penyerang berusia 40 tahun itu menunjukkan kekecewaannya dengan menghayunkan siku ke belakang O’Shea, dan selepas semakan VAR, dia dilayangkan kad merah.

Ia melengkapkan dua perlawanan yang mengecewakan buat Ronaldo menentang Ireland, selepas dia terlepas sepakan penalti ketika kedua-dua pasukan bertemu di Portugal pada Oktober.

Ronaldo, penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa lelaki, mungkin terlepas permulaan Piala Dunia jika Portugal layak, bergantung pada tempoh penggantungan.

Ini merupakan kad merah ke-13 dalam karier Ronaldo, tetapi yang pertama untuk Portugal.

Ronaldo turut bertepuk tangan secara sinis ke arah penyokong tuan rumah ketika keluar padang, dan berbalas kata dengan Hallgrimsson, yang sebelum ini memberi amaran kepada pengadil agar tidak terpengaruh dengan status Ronaldo, sebelum akhirnya berjabat tangan dengan jurulatih Ireland itu.

“Kami tidak berjaya (menang), kami sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku hari ini,” kata pemain tengah Portugal, Bernardo Silva.

“Itulah bola sepak, pujian kepada lawan yang juga pasukan yang tersusun dengan baik dan sebelum ini pun sudah menyukarkan kami di Portugal.” – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Masters Jepun: Sze Fei-Nur Izzudin ‘mandi peluh’ sebelum ke suku akhir
Next: Perancis layak ke Piala Dunia ketika Portugal, Norway terpaksa menunggu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.