Ruang dinding yang kosong, nampak bosan dan suram serta tiada elemen yang mampu menceriakan suasana mencetuskan idea bagi seorang wanita untuk menghasilkan lukisan mural.
Menurut Rohani Sulaiman,39, lukisan mural merupakan seni yang sangat indah jika corak dan hiasan rekaannya itu dilukis pada sesuatu dinding.
Katanya, lukisan mural bukan sahaja mampu merubah suasana malah mampu menceriakan sesuatu ruang.
“Sesuatu ruang atau dinding tidak seharusnya dibiarkan kosong sahaja. Ia akan nampak lebih menarik jika dihias dengan lukisan mural,” katanya.
Beliau yang bertugas di salah sebuah sekolah rendah di sini berkata, untuk menghasilkan lukisan mural bukanlah sesuatu yang mudah.
Katanya, melukis mural pada dinding tidak semudah melukis di atas sekeping kertas lukisan.
“Ini kerana ruang yang digunakan untuk melukis mural jauh lebih besar dan luas berbanding dengan kertas lukisan.
“Ia juga memerlukan ketelitian yang tinggi serta teknik yang betul supaya hasilnya nanti dapat dilihat dengan jelas dari jauh mahupun dekat,” ujarnya.
Bercerita mengenai konsep atau tema lukisan mural yang dihasilkan, wanita yang memiliki ‘tangan ajaib’ ini berkata, kebiasaannya tidak ada sesuatu konsep specifik yang dilukisnya.
“Tema diambil mengikut kesesuaian sesuatu ruang atau dinding.
“Kebiasaannya, saya lebih suka melukis gambar kartun, pemandangan air terjun, hidupan laut, ruang angkasa, kartun, watak adiwira, mural lantai, mural tiga dimensi (3D) dan beberapa yang lain.
“Gambar-gambar sebegini dipercayai mampu menceriakan sesuatu ruang dan dilihat bersesuaian bagi kawasan sekolah,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai cabaran utama sepanjang melukis mural, Rohani memberitahu, faktor cuaca merupakan salah satu rintangan yang tidak dapat dielakkan.
Katanya, apabila berlakunya hujan, kerja-kerja untuk menghasilkan mural terpaksa ditangguhkan.
“Ini disebabkan keadaan permukaan dinding yang basah.
“Selain itu, cabaran paling besar juga adalah menghasilkan karya bermutu dan menguruskannya selepas dihasilkan,” katanya.
Menurut Rohani, sesuatu lukisan mural mampu disiapkan dalam tempoh dua hingga ke tujuh hari.
Katanya, ia bergantung dengan corak atau lukisan yang bakal dihasilkan termasuklah keluasan serta struktur sesuatu dinding yang digunakan.
“Jika ruang kecil, dalam dua hari pun boleh siap. Namun, jika ruang besar dan konsep yang ingin dihasilkan lebih rumit, kadang-kadang ia memakan masa hampir seminggu,” jelasnya.
Selain meminati bidang lukisan mural, Rohani turut memiliki bakat terpendam dalam menghasilkan pelbagai jenis kraftangan.
Pelbagai barangan seperti bekas pen, tabung duit syiling dan tempat letak bunga dihasilkan dari bahan-bahan buangan.
“Saya menggunakan bahan buangan seperti botol plastik, bekas syampu, bekas sabun pencuci dan sebagainya.
“Penggunaan bahan kitar semula ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos malah mampu membantu dalam mengurangkan sampah sarap,” ujarnya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD