Rodri dinobat Pemain Terbaik Piala Dunia 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Kapten Sepanyol, Rodri, dinobatkan sebagai penerima anugerah Bola Emas selaku Pemain Terbaik Piala Dunia 2026 selepas membantu negaranya menewaskan Argentina 1-0 pada final, awal pagi ini (waktu Malaysia).

Pemain tengah Manchester City berusia 30 tahun itu, yang pernah memenangi Ballon d’Or sebagai pemain terbaik dunia pada 2024, mengakui beliau dan rakan sepasukan masih sukar mempercayai kejayaan berkenaan.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak mampu menggambarkannya dengan kata-kata. Saya rasa ketika ini kami seolah-olah masih berada dalam mimpi,” katanya.

Rodri mengalami kecederaan putus ligamen anterior krusiat (ACL) ketika mewakili Manchester City dalam aksi menentang Arsenal pada September 2024 sebelum kembali beraksi secara kompetitif pada Mei tahun berikutnya.

“Tempoh itu amat sukar buat saya. Saya mahu generasi muda melihat perjalanan saya sebagai satu contoh bahawa apabila anda jatuh, anda masih mampu bangkit semula.

“Itulah falsafah hidup saya. Ada kalanya keadaan memihak kepada kita dan ada masanya tidak.

“Namun saya sentiasa berfikiran positif. Sebelum perlawanan, saya beritahu rakan sepasukan bahawa kami perlu berani mengharungi cabaran ini.

“Kami perlu berdepan mereka tanpa rasa gentar. Kami perlu memandang mata mereka dan menunjukkan keyakinan. Selepas itu, sama ada takdir menghadiahkan Piala Dunia kepada kami atau tidak, itu perkara lain.

“Yang penting, kami berani, dan saya juga berani pada saat itu,” katanya. – AFP