ROBAN: Penantian sekian lama penduduk di kawasan Roban dan sekitarnya bagi mendapatkan perkhidmatan perbankan berakhir, apabila Mesin Kitar Semula Tunai (CRM) telah beroperasi sepenuhnya dekat sini sejak semalam.
CRM adalah mesin yang berfungsi sebagai gabungan mesin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM). Ia membolehkan pengguna untuk mengeluarkan dan mendepositkan wang tunai dalam satu mesin yang sama.
CRM juga mampu mengira, menyaring, dan menyusun semula wang tunai untuk digunakan semula oleh pengguna lain yang ingin mengeluarkan wang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata mesin ATM tersebut kini telah disediakan di Pejabat Daerah Kecil Roban, sekali gus dijangka dapat memberi manfaat kepada ribuan penduduk di kawasan sekitar.
“Berdasarkan kepada populasi penduduk dan pembangunan yang semakin pesat di daerah kecil Roban telah mendorong kepada wujudnya keperluan perkhidmatan perbankan di kawasan ini.
“Sebelum ini penduduk terpaksa pergi ke Sarikei atau Saratok untuk melakukan urusan perbankan. Namun kini, penduduk di kawasan sekitar daerah kecil Roban tidak perlu lagi pergi jauh. Ini sesuatu perkhidmatan yang dinanti-nantikan selama ini oleh penduduk,” katanya semasa melakukan tinjauan mesin ATM di Pejabat Daerah Kecil Roban, dekat sini.
Mohamad Duri berkata dengan wujudnya mesin ATM di Roban itu penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke bandar terdekat bagi urusan pengeluaran, penghantaran duit dan menerima bantuan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, perkhidmatan mesin ATM tersebut adalah keperluan yang sangat tinggi di kawasan Roban.
Beliau yakin, mesin ATM mampu meningkatkan lagi ekonomi penduduk di kawasan Roban kerana bila ada aliran tunai, banyak peluang perniagaan akan wujud.
“Kedai runcit akan meningkat jualannya dan peluang pekerjaan akan bertambah. Ini yang kita nampak dalam usaha kita membantu masyarakat luar bandar terutamanya di Roban. Jika ada tunai di kawasan Roban, banyaklah peluang perniagaan akan timbul,” tambahnya.
Mohamad Duri mengucapkan terima kasih kepada usaha kerajaan menyediakan kemudahan asas yang sangat diperlukan ini, kini ada disediakan di Pekan Roban.
Oleh ADI SAFARMAN