
KABONG: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah meluluskan pembinaan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Kabong berjumlah RM800,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata penubuhan sebuah PAWE di daerah itu menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan warga emas di negeri ini.
“Diharapkan dengan penubuhan PAWE ini, ia akan memberi manfaat kepada warga emas di Kabong terutama dan masyarakat sekeliling,” katanya semasa mengadakan lawatan tapak bina baharu PAWE di Kabong dekat sini semalam.
Lawatan ini turut melibatkan kunjungan ke penempatan sementara PAWE Kabong yang akan digunakan sehingga projek siap sepenuhnya.
Kehadiran pihak berwajib ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan warga emas terus diberi perhatian melalui penyediaan fasiliti yang selesa dan kondusif.
“Lawatan ini diharapkan dapat mempercepatkan proses pelaksanaan projek agar PAWE Kabong yang baharu dapat digunakan secepat mungkin demi manfaat warga emas di kawasan ini,” kata Chee Kadir.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak, Semawi Mohamad.
Oleh Adi Safarman