
SIMANGGANG: Enam projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos keseluruhan berjumlah RM600,000 telah diserah tapak kepada kontraktor pelaksana melalui agensi pelaksana Majlis Daerah Sri Aman (MDSA).
Majlis penyerahan tapak itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis yang turut menegaskan kepentingan kerjasama penduduk serta komitmen syarikat kontraktor dalam memastikan projek disiapkan mengikut tempoh dan spesifikasi yang ditetapkan.
Enam projek tersebut melibatkan pelbagai sektor pembangunan kemudahan masyarakat, antaranya naik taraf rumah panjang, pembinaan sistem perparitan serta penambahbaikan fasiliti sukan dan pendidikan.
“Keseluruhan projek ini telah melalui proses tawaran kontrak secara cabutan undi dan syarikat yang dipilih adalah mereka yang bersetuju menerima serta melaksanakan kerja mengikut harga dan spesifikasi ditetapkan,” jelasnya semalam.

Antara projek yang akan dilaksanakan ialah naik taraf Rumah Engkujat Ngayak di Kampung San Demam Baru, Rumah Jacktola Beranchar di Kampung Sungai Labi serta Rumah Manjan Apa di Kampung Lubok Ju yang turut menerima projek tambahan melibatkan naik taraf sistem perparitan.
Selain itu, kemudahan sukan juga tidak dilupakan dengan pelaksanaan projek naik taraf gelanggang futsal di Rumah Rose Emma, Kampung Temudok Atas, manakala padang bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman turut diberi sentuhan baharu agar lebih kondusif untuk kegunaan murid-murid sekolah.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, keenam-enam projek ini dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan, bermula 22 Ogos hingga 21 November tahun ini.

“Saya mengingatkan penduduk agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada kontraktor supaya kerja dapat berjalan lancar. Bagi pihak kontraktor pula, saya mahu setiap kerja dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, menepati spesifikasi dan mengekalkan kualiti binaan,” tegas beliau.
Harden turut mengingatkan agensi pelaksana agar tidak berkompromi dalam aspek pemantauan.
“MDSA perlu memastikan pematuhan spesifikasi skop kerja. Jika terdapat kelemahan atau ketidakpatuhan, tindakan pembetulan mesti dilakukan segera,” tambahnya.
Oleh Adi Safarman