
PETRA JAYA: Sebanyak RM47 juta diperuntukkan bagi melaksanakan dua projek infrastruktur utama untuk mengatasi masalah banjir yang berlarutan di kawasan Maludam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata dua projek berkenaan merangkumi projek mitigasi banjir bagi penempatan utama di Maludam serta projek pembinaan sistem saliran dan perparitan baharu di kawasan perkampungan sekitar.
“Kedua-dua projek ini dianggarkan menelan kos RM47 juta dan kini berada di peringkat perancangan terperinci (Detailed Planning and Design – DPR),” katanya.
Menurutnya, masalah banjir yang berpanjangan telah memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk termasuk mengganggu aktiviti harian, merosakkan harta benda serta menjejaskan hasil pertanian dan ekonomi setempat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sektor Pembangunan Infrastruktur Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Kali Kedua yang dipengerusikan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam.
Dayang Noorazah turut menegaskan bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyelesaikan isu banjir secara menyeluruh di kawasan berkenaan.
“Perancangan projek ini merupakan langkah penting dan strategik.
“Ia dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk apabila siap kelak, bukan sahaja dari sudut keselamatan, tetapi juga dalam meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan komuniti,” ujarnya.
Mesyuarat tersebut turut bertujuan membincangkan serta menyelaras perancangan pembangunan infrastruktur di bawah inisiatif BDDA, dengan fokus utama terhadap keperluan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Oleh Adi Safarman