
SERDENG: Kampung Serdeng bakal berubah wajah apabila peruntukan berjumlah RM450,000 diluluskan untuk projek pembinaan dan pembesaran kawasan letak kereta, sekali gus membuka potensi kepada pembangunan infrastruktur serta aktiviti kemasyarakatan di kawasan itu.
Projek tersebut dijangka bukan sahaja memberikan keselesaan kepada penduduk untuk meletakkan kenderaan, malah mampu menjadi tapak kepada penganjuran program komuniti yang lebih tersusun dan terancang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, lawatan tapak telah dibuat pada Januari lalu dan beliau berharap pembinaan dapat dimulakan secepat mungkin.
“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan pada tahun ini dan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun demi keselesaan penduduk Kampung Serdeng,” ujarnya.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah tamah Aidilfitri di Kampung Serdeng, baru-baru ini.
Abdullah turut menekankan keperluan untuk mewujudkan satu lagi laluan keluar masuk ke kampung tersebut memandangkan pada masa ini hanya terdapat satu akses utama yang agak terhad bagi menampung keperluan mobiliti harian penduduk.
“Saya mahu pemimpin setempat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sama-sama berbincang dan memberi pandangan agar satu lagi jalan akses dapat diwujudkan.
“Sekurang-kurangnya setiap kampung mesti ada dua jalan keluar dan masuk,” katanya.
Justeru, Abdullah mengingatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar melaksanakan tugas dengan tegas dan berprinsip demi memastikan segala perancangan pembangunan dapat direalisasikan tanpa gangguan.
“Ketegasan itu penting. Ia mencerminkan keperibadian yang berprinsip agar segala perancangan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Kita tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak kerana setiap orang ada agenda dan harapan masing-masing terhadap kemajuan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab memaklumkan beberapa projek yang telah atau sedang berjalan termasuk projek bina baru astaka padang bola sepak bernilai RM70,000 serta projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi menaik taraf Jalan Kampung Hilir Serdeng bernilai RM150,000.
Oleh Earl Anek