
MIRI: Seorang ahli perniagaan di sini menanggung kerugian RM30,000 selepas ditipu oleh sindiket penyamaran dalam talian yang menawarkan projek pembekal sistem solar untuk satu projek Jabatan Pertanian yang bernilai RM324,900.00.
Ketua Polis Daerah, ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan malam ini berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerima laporan polis berhubung kes terbabit daripada mangsa lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an pada Jumaat lepas.
Berdasarkan laporan, mangsa berminat dengan satu hantaran di laman sosial Facebook tentang pencarian pembekal sistem solar untuk satu projek Jabatan Pertanian yang bernilai RM324,900.00.
“Mangsa telah berhubung dengan pemilik Facebook tersebut untuk menjadi pembekal sistem solar kepada projek itu dan kemudian menerima pesanan WhatsApp daripada individu yang memperkenalkan diri dari ‘Jabatan Pertanian’ yang bersetuju supaya mangsa menjadi pembekal sistem solar kepada projek tersebut dengan syarat pembelian sistem solar tersebut dibuat daripada penjual yang telah ditetapkan oleh individu tersebut.
“Mangsa bersetuju dengan syarat tersebut dan kemudian menghubungi nombor telefon yang telah diberikan oleh individu tersebut untuk berurusan tentang pembelian sistem solar itu,” katanya.
Mangsa telah membuat pembayaran secara atas talian ke akaun bank yang diberikan dan menyedari telah ditipu apabila pergi ke Jabatan Pertanian pada keesokan harinya dan dimaklumkan bahawa pesanan tersebut tidak pernah dibuat oleh Jabatan Pertanian.
“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM30,000.00,”ujarnya.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa kepada
hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat juga denda jika disabit kesalahan.
Oleh itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati serta mencari maklumat yang secukupnya sebelum mengambil keputusan bagi mendapatkan sesuatu projek yang diiklankan atas talian.
“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber seperti penipuan tawaran pekerjaan, pinjaman tidak wujud, love scam, e-dagang, phone scam dan sebagainya sekiranya anda baru sahaja membuat transaksi pindahan wang ke mana-mana akaun bank atau e-wallet suspek,” ujarnya.
OLEH LIONG CHAI LING