KUCHING: Sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi memperkasa 135 sekolah mubaligh di Sarawak, dengan tumpuan bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur, malah peningkatan prestasi akademik, kemahiran insaniah dan penggunaan teknologi dalam pembelajaran.
Menteri Bertanggungjawab bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata peruntukan itu turut membolehkan sekolah memenuhi keperluan peralatan pembelajaran semasa, termasuk teknologi seperti papan pintar.
“Pada masa lalu, kebanyakan peruntukan digunakan untuk membantu dari segi infrastruktur. Ada sekolah yang tidak mempunyai tempat duduk yang mencukupi, ruang makan dan sebagainya.
“Sekarang kita bergerak melangkaui perkara itu kepada kemahiran insaniah dan kelas motivasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 1 2026 di Bangunan UNIFOR, di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan bantuan kini perlu melangkaui aspek infrastruktur bagi memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan motivasi pelajar.
Beliau menambah bahawa peningkatan pencapaian pelajar sekolah mubaligh penting bagi memastikan mereka memenuhi kelayakan untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan.
Katanya, peluang itu semakin penting susulan keputusan kerajaan Sarawak menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar yang layak melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

“Kita bimbang mungkin tidak ramai anak-anak dari luar bandar dapat memanfaatkan program ini, bukan kerana faktor kaum atau agama kerana peluang ini diberikan kepada semua tanpa mengira agama, kaum dan asal usul.
“Namun, mereka perlu memperoleh kelayakan yang ditetapkan untuk diterima masuk ke universiti berkenaan,” jelasnya.
Uggah berkata, UNIFOR kini mengadakan perbincangan dengan sekolah-sekolah mubaligh bagi mengenal pasti pendekatan terbaik untuk meningkatkan pencapaian pelajar.
Katanya, antara bidang yang perlu diberi perhatian ialah Sains dan Matematik yang masih menjadi antara kelemahan utama dalam kalangan pelajar.
“Kita berharap dengan segala bimbingan ini, pencapaian mereka dapat ditingkatkan, khususnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik,” ujarnya.
Menurutnya, penggunaan teknologi seperti papan pintar dapat membantu memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran, selain memberi pendedahan yang lebih baik kepada pelajar terhadap keperluan pendidikan semasa.
Uggah turut menyeru wakil rakyat supaya memainkan peranan di kawasan masing-masing dengan membantu membimbing pelajar dan sekolah agar peluang pendidikan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Oleh Adele Rissa





