
MIRI: Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM253,110 selepas menjadi mangsa penipuan menyamar sebagai kenalan bagi tujuan meminjam wang dalam kejadian yang berlaku di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri menerima satu laporan polis dibuat mangsa warga tempatan berusia lingkungan 60-an berhubung kes tersebut semalam.
Menurut beliau, kejadian dipercayai bermula sekitar Disember 2025 apabila mangsa dihubungi satu nombor telefon yang memperkenalkan diri sebagai anak kepada rakan mangsa.
“Suspek mendakwa memerlukan wang bagi menyelesaikan tuntutan bayaran projek keluarga kenalan mangsa yang kononnya tidak dapat dikeluarkan dan telah disekat, selain perlu membuat bayaran kepada pihak bank di Singapura.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek turut mengemukakan dokumen berkaitan projek berkenaan serta menjanjikan pulangan wang yang lebih tinggi selepas bayaran projek diperoleh.
“Terpedaya dengan helah tersebut, mangsa telah membuat sebanyak 41 transaksi pindahan wang ke empat akaun bank yang berlainan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Farhan berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada ahli keluarga, sebelum tampil membuat laporan polis.
Jumlah kerugian keseluruhan dialami mangsa dianggarkan sebanyak RM253,110.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Oleh Liong Chai Ling