RM240,000 jayakan Pesta Makan Tahun Kedayan 2026

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Abdul Rahman Ismail, berucap pada Majlis Kesyukuran Sempena Kejayaan Penganjuran Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Anjung Surau Kampung Nauran, semalam.

LIMBANG: Sebanyak RM240,000 diperuntukkan kerajaan termasuk sumbangan wakil rakyat bagi menjayakan Pesta Makan Tahun Kedayan 2026, sekali gus memperkukuh usaha mengangkat warisan, budaya dan adat resam masyarakat Kedayan di utara Sarawak.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata penganjuran pesta berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong usaha memelihara dan mempromosikan kebudayaan masyarakat tempatan.

“Bagi program Makan Tahun Kedayan pada tahun ini, Premier Sarawak menyumbang RM70,000, manakala Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MCTP) Sarawak memperuntukkan RM50,000, selain dana daripada wakil-wakil rakyat bagi melaksanakan Pesta Makan 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran sempena kejayaan penganjuran Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Anjung Surau Kampung Nauran, malam tadi.

Menurutnya, Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang yang kini memasuki edisi ke-10 berjaya menonjolkan budaya dan adat resam masyarakat Kedayan, khususnya di utara Sarawak.

DR Abdul Rahman menyantuni jawatankuasa penganjur Pesta Makan Tahun Kedayan pada majlis kesyukuran sempena kejayaan penganjuran Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang 2026 di Anjung Surau Kampung Nauran, semalam.

Katanya, penganjuran pesta itu turut memberi peluang kepada masyarakat setempat memperkenalkan warisan budaya mereka kepada pengunjung, selain berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang menyelaraskan 17 program dan acara kebudayaan serta pelancongan sepanjang 2026 bagi merancakkan ekonomi dan sektor pelancongan di daerah berkenaan.

Antara acara yang dianjurkan termasuk Pesta Makan Tahun Kedayan dan Pesta Limbang, manakala Regata Limbang dijadualkan berlangsung pada September depan sebagai antara acara yang dinanti-nantikan masyarakat.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata Kampung Bakol, Limbang, dipilih sebagai lokasi utama Pesta Makan Tahun Kedayan bagi penganjuran tahun depan.

Oleh Adeng Edrus