
DAYANG Noorazah semasa merasmikan majlis sambutan Gawai Dayak DUN Lingga yang berlangsung meriah di Dewan Nangkai, Stumbin hari ini. Foto: UKAS
LINGGA: Kemajuan dan pembangunan di kawasan Sri Aman terus menunjukkan peningkatan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata masyarakat kini dapat menikmati pelbagai kemudahan yang telah disediakan selain bersama-sama merasai hasil pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, komitmen kerajaan dalam memperkasakan pembangunan luar bandar diterjemahkan menerusi pelaksanaan projek infrastruktur, kemudahan awam dan peningkatan akses kepada perkhidmatan asas yang memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk.
“Pelbagai usaha yang dilaksanakan hari ini membolehkan rakyat menikmati kemudahan yang lebih selesa, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Sri Aman,” katanya ketika merasmikan sambutan Gawai Dayak Daerah Lingga 2026 di Dewan Nangkai, Stumbin, hari ini.
Pada majlis itu, beliau turut memaklumkan bahawa sambutan Gawai tahun ini membawa pembaharuan menerusi penambahbaikan infrastruktur di Dewan Nangkai, termasuk pemasangan sistem penghawa dingin serta kerja-kerja menaik taraf pintu dewan bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.
Dalam usaha memperkukuh kemudahan komuniti, beliau turut mengumumkan penyediaan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi pelaksanaan projek pembinaan sebuah chapel (gereja) pada tahun hadapan.
Menyentuh pembangunan kawasan, Dayang Noorazah berkata beberapa kawasan di Stumbin, khususnya Tanjung Bijat, akan terus diberi perhatian melalui pelaksanaan projek secara berfasa mengikut keutamaan serta kemampuan peruntukan semasa.
Antara projek yang dirancang termasuk pembinaan crossover di kawasan Gran Stumbin serta projek pembinaan pembetung bagi mempertingkatkan sistem perhubungan dan kemudahan asas penduduk.
Beliau turut menggalakkan penduduk di kawasan DUN Lingga mengemukakan cadangan projek pembangunan melalui Pejabat Daerah supaya dapat dipertimbangkan untuk pelaksanaan secara berperingkat.
Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan awam, kerajaan juga merancang projek melebarkan jalan akses ke tanah perkuburan di Bukit Munggu dan Bukit Skirau melalui peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) bagi memudahkan urusan masyarakat.
Dalam sektor pertanian, beliau berkata kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lalu akan memperkukuh pembangunan sektor padi serta menjamin keterjaminan makanan negeri.
Menurut beliau, Sarawak juga akan mengambil alih pelaksanaan projek tanaman padi secara berperingkat bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan dan memperkasakan industri agromakanan negeri.
Mengulas mengenai sambutan Gawai, beliau menzahirkan rasa syukur kerana perayaan pada tahun ini berlangsung meriah di rumah-rumah panjang dengan penyertaan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum.
Dayang Noorazah turut menegaskan bahawa keharmonian dan semangat perpaduan yang dinikmati masyarakat di Sri Aman merupakan aset penting yang perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan serta dinikmati secara bersama oleh seluruh rakyat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Khas Premier Sarawak, Dato Bujang Helmi Hazmi; Pemangku Pegawai Daerah Lingga, Josephson Louis Nako; wakil Pegawai Daerah Pantu, Stanley Randy; Temenggung Kueh Aik Seng; Temenggung Mohamad Shah Achang; serta Temenggung Leonard Libau.
Oleh Adi Safarman