LAWAS: Penduduk Lawas diseru supaya mengamalkan norma baharu kerana negara masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.
Malah, aspek kebersihan diri dan penjagaan jarak sosial juga harus dipraktikkan sepanjang masa apabila berada di luar rumah.
Timbalan Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar (PKLB), Dato Henry Sum Agong menyatakan demikian sewaktu lawatan kerja ke Kampung Awat-awat di sini Ahad lalu.
Henry Sum yang juga Ahli Parlimen Lawas meluangkan masa mendengar segala permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian utama.
Sehubungan itu beliau mengumumkan peruntukan RM20,000 untuk baik pulih pondok menyalai ikan tahai di Awat-awat.
Manakala empat kampung masing-masing menerima RM20,000 yang disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kampung Hujung, Kampung Menengah, Kampung Masjid dan Kampung Balai di Awat-awat.
Bagi dua JKKK yang baharu ditubuhkan, beliau menasihatkan mereka untuk berdaftar dengan Pejabat Daerah dan membuka akaun masing-masing.
Semasa lawatan tersebut, Henry Sum melihat projek pemecah ombak yang perlu ditambah baik, projek jeti dan jambatan kampung serta projek bekalan air.
Menyentuh lanjut, beliau akan menyenaraikan semua projek itu dalam peruntukan baharu dan mengharap penduduk untuk terus bersama-sama kerajaan Sarawak dan kerajaan pusat sekarang ini.
“Kita melakukan lawatan ini untuk menyenaraikan isu utama rakyat dan kita akan kongsi maklumat ini dengan Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Sari Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Ini kerana kita mahu memastikan tidak ada pertindihan projek dan juga memastikan peruntukan projek dapat memberi manfaat terus kepada rakyat,” ujarnya kepada media.
Henry Sum juga menyeru rakyat di Lawas supaya bersatu padu dan tidak mudah terpedaya dengan berbagai informasi yang disiarkan dalam media sosial.
“Terlalu banyak fitnah dan berita yang cuba mengelirukan rakyat. Kita mahu rakyat Lawas terus fokus kepada agenda pembangunan tanpa memperduli penyebar berita palsu yang semakin galak di media sosial,” tambahnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Pegawai KPLB Putrajaya, Maswan Manan dan ketua-ketua kampung di Awat-awat.
Oleh Adeng Edrus