BETONG: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM17 juta bagi tujuan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan ibu tunggal dan isteri ketua isi rumah miskin yang berdaftar dengan e-Kasih di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan tersebut dilulus setelah berlangsung satu mesyuarat mengenai bantuan caruman berkenaan pada minggu lepas.
“Peruntukan ini merupakan satu pendekatan dari sudut kebajikan yang dilaksana oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membantu golongan ibu yang tiada pendapatan di negeri ini.
“Kita, Kerajaan GPS akan mengeluarkan peruntukan bagi golongan ibu berkenaan supaya mereka punya caruman dalam akaun KWSP masing-masing,” kata beliau.
Ketua Menteri mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong yang berlangsung di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini semalam.
Sementara itu Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata dianggar sekitar 70,000 isteri ketua isi rumah dan ibu tunggal bakal menerima bantuan caruman KWSP itu dalam tempoh lima tahun.
Katanya, setiap ibu berkenaan akan menerima bantuan caruman KWSP sebanyak RM60 setahun demi membolehkan mereka layak untuk mendapat pembiayaan Skim i-SURI sebanyak RM480 setahun yang diperkenal oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Kami menjangkakan jumlah kaum ibu yang layak menerima bantuan caruman KWSP ini akan meningkat tiga kali ganda apabila kerajaan melaksana paras Pendapatan Garis Kemiskinan Nasional (PGKN) yang baharu kelak,” kata beliau.
Fatimah turut memberitahu dianggarkan sejumlah RM18,348,780 akan dibelanja oleh Kerajaan Sarawak bagi menjayakan bantuan caruman KWSP kepada ibu tunggal dan isteri ketua isi rumah bermula tahun ini hingga 2024.
Turut hadir Pengerusi Tetap PBB, Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar, Naib Yang Dipertua Kanan, Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Dato Sri Fadillah Yusof, Naib Yang Dipertua, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Agung, Datuk Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Pemuda, Gerald Rentap Jabu, para Ahli Majlis Tertinggi dan 650 perwakilan.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Dato’ Sri Dr Sim Hui Kian, Presiden Parti Demokratik Progresif, Dato Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak, Datuk Ir Janang Bungsu turut hadir.
Oleh Valentine Ngumbang / Earl Anek