KUALA LUMPUR: Sejumlah RM132.41 bilion disalurkan kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2019, meningkat 12.63 peratus daripada RM117.56 bilion pada 2018, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Dana persaraan itu menerusi kenyataan semalam berkata, jumlah tersebut dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 14.12 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.
Pengerusi, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, dengan mengambil kira saiz keseluruhan portfolio pelaburan KWSP yang mencecah RM924.75 bilion pada akhir 2019, kerjasama dengan pengurus portfolio luaran diteruskan bagi melaburkan sebahagian dana KWSP untuk menjana pulangan setimpal.
“Kerjasama ini juga adalah antara usaha untuk mempelbagaikan serta meningkatkan prestasi aset kami,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata, KWSP amat menghargai pengurus portfolionya, sama ada luaran mahupun dalam kalangan anggota KWSP memandangkan fokus serta komitmen mereka telah memastikan prestasi baik dana yang diamanahkan kekal mampan.
KWSP berkata, bagi tahun kewangan berakhir 2019, ia telah mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45 peratus dengan jumlah agihan sebanyak RM41.68 bilion untuk Simpanan Konvensional manakala dividen sebanyak 5.00 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan sebanyak RM4.14 bilion.
Ahmad Badri berkata, dalam melaksanakan strategi pelaburan KWSP sepanjang tempoh ketidakpastian pasaran ini, jangkaan bagi masa terdekat perlu diuruskan dengan baik kerana pandemik Covid-19 ini telah mengubah keseluruhan cara dunia beroperasi.
“Bagaimanapun, KWSP akan terus berusaha untuk mengekalkan pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka panjang, berdasarkan had risiko yang boleh diterima dan pada masa sama memelihara serta meningkatkan nilai modal simpanan ahli.
“Kami yakin pengurus-pengurus portfolio luaran yang dilantik akan membantu kami mencapai objektif ini,” katanya. – Bernama