Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Risiko jerebu rentas sempadan di Sarawak meningkat
  • KESIHATAN

Risiko jerebu rentas sempadan di Sarawak meningkat

Utusan Sarawak 9 hours ago
PEMANDANGAN Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching yang yang kelihatan kabur kerana berjerebu beberapa tahun lalu.

KUCHING: Sarawak berisiko dilanda jerebu dalam tempoh beberapa hari atau minggu akan datang sekiranya aktiviti pembakaran biojisim di luar sempadan, khususnya di Kalimantan, Indonesia, terus meningkat.

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kualiti udara ambien di negeri itu menunjukkan trend peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak 19 Julai lalu.

“Sehingga 8.00 pagi tadi, sebanyak 15 kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada paras sederhana, manakala tiga kawasan lagi mencatatkan bacaan kategori baik.

“Tiada kawasan direkodkan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat ini,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan empat titik panas di Sarawak dari 14 Julai hingga semalam, manakala Kalimantan mencatatkan sebanyak 114 titik panas dalam tempoh sama, dengan 93 daripadanya dikesan hanya dalam tempoh dua hari, iaitu pada 19 dan 20 Julai lalu.

NREB menjelaskan bahawa negara ketika ini berada dalam fasa Monsun Barat Daya sejak 10 Mei lalu yang dijangka berakhir pada September ini, sekali gus menyebabkan angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya.

“Keadaan ini berpotensi membawa kepada berlakunya jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara ambien di wilayah Sarawak,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, NREB telah mengaktifkan bilik operasi jerebu, melaksanakan rondaan lapangan, menggantung pengeluaran permit pembakaran terkawal serta mengeluarkan notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek.

Turut dilaksanakan ialah program kesedaran bersama agensi berkaitan mengenai larangan pembakaran terbuka dalam usaha mengekalkan kualiti udara dan mengurangkan risiko jerebu.

Orang ramai disaran supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang cuaca panas dan kering, termasuk memastikan pengambilan air yang mencukupi, mengehadkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka jenis N95 ketika berada di luar, khususnya golongan berisiko tinggi.

Dalam pada itu, NREB turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencetuskan pencemaran udara.

Orang ramai diminta melaporkan sebarang kejadian pembakaran terbuka kepada pejabat NREB berhampiran atau menerusi talian hotline di 082-447488 atau 082-319500.

-Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Kempen Derma Darah 22 Julai di Sibu sempena Hari Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.