KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga hari ini dengan mencatat kenaikan berbanding kebanyakan mata wang utama lain dan hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Prestasi itu dicatatkan ketika ketegangan global mengehadkan pengukuhan dolar AS menjelang pengumuman data gaji bukan perladangan (NFP) AS.
Pada 8.05 pagi ini, ringgit susut sedikit kepada 4.0895/0960 berbanding dolar AS berbanding paras penutup 4.0875/0920 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata laporan NFP yang dijadualkan diumumkan malam ini, dijangka terus memacu pengukuhan dolar AS apabila tenaga kerja AS diunjur kekal berdaya tahan.
“Indeks Dolar AS (DXY) turut meningkat 0.25 peratus kepada 99.930 mata. Tuntutan Awal Faedah Pengangguran pula meningkat sedikit kepada 199,000 minggu lepas berbanding 198,000 pada minggu sebelumnya, namun kekal di bawah paras 200,000 untuk tiga minggu berturut-turut.
“Berpandukan anggaran awal ini, NFP dijangka meningkat kepada 88,000 pada Julai selepas susut kepada 57,000 pada Jun,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut menjangkakan dagangan dolar AS-ringgit dalam julat RM4.08 hingga RM4.10 hari ini.
Sementara itu, Ketua Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes pula menjangkakan ringgit menyusut berikutan sentimen risiko bertukar negatif susulan perkembangan lanjut mengenai perjanjian Iran–Oman berkaitan Selat Hormuz.
“Serangan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) terhadap pihak yang disifatkannya sebagai musuh, termasuk mereka yang menyokong AS atau Israel, telah menghidupkan semula kebimbangan terhadap keselamatan serantau dan aliran bekalan tenaga.
“Berikutan itu, harga minyak mentah melonjak dalam tempoh semalaman dan dolar AS terus mendapat permintaan sebagai aset selamat menjelang pengumuman laporan NFP,” katanya.
Pada masa sama, Innes berkata jika bacaan pekerjaan Automatic Data Processing (ADP) yang lebih kukuh dapat diterjemahkan ke dalam data rasmi pasaran tenaga kerja, gabungan pasaran pekerjaan AS yang kekal berdaya tahan serta harga minyak lebih tinggi dijangka menyokong pengukuhan berterusan dolar AS yang sebaliknya memberi tekanan kepada ringgit.
Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dunia.
Ringgit naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5808/5850 daripada 2.5892/5922, mengukuh berbanding euro kepada 4.7123/7198 daripada 4.7162/7213 namun susut berbanding pound Britain kepada 5.5020/5108 daripada 5.4997/5058.
Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan dengan prestasi bercampur-campur.
Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1860/1913 daripada 3.1881/1919 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.72/6.74 daripada 6.72/6.73.
Namun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 12.3442/3701 daripada 12.3628/3801 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.1/228.6 daripada 228.0/228.4. – Bernama





