
KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal stabil dan didagangkan dalam julat 4.10 hingga 4.12 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, disokong oleh jangkaan pasaran terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kebanyakan peniaga dan pelabur menjangkakan Fed membuat pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang dijadualkan pada 9 dan 10 Disember ini.
“Tumpuan minggu depan akan terarah kepada mesyuarat FOMC, dan lebih penting, panduan dasarnya, terutama unjuran suku tahunan terkini mengenai pemboleh ubah makroekonomi khususnya Kadar Dana Persekutuan dan unjuran inflasi,” katanya kepada Bernama.
Awal minggu ini, mata wang tempatan mendatar pada Isnin sebelum mengukuh dari Selasa hingga Jumaat.
Unit tempatan mencecah 4.11 iaitu paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan pada Khamis.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS apabila ditutup tinggi pada 4.1105/1140 daripada 4.1300/1350 yang dicatatkan minggu lepas.
Ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Mata wang domestik rendah berbanding yen Jepun kepada 2.6536/6561 daripada 2.6420/6456 ketika minggu lepas, dan susut berbanding euro kepada 4.7912/7953 daripada 4.7768/7825.
turun berbanding pound British kepada 5.4859/4905 daripada 5.4528/4594.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara rakan serantau ASEAN.
Unit tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 246.8/247.2 daripada 247.6/248.0 ketika ditutup minggu lepas, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1741/1773 daripada 3.1813/1857.
Ringgit juga lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 6.97/6.98 daripada 7.04/7.06 namun, susut berbanding baht Thailand kepada 12.9054/9221 daripada 12.8245/8472.- Bernama