Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS susulan perkembangan di Asia Barat

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Selasa berikutan sentimen pasaran terus tertumpu kepada perkembangan di Asia Barat.

Pada 8.00 pagi, unit tempatan meningkat kepada 3.9705/9760 berbanding dolar AS daripada 3.9720/9770 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran terus tertumpu kepada situasi di Asia Barat berikutan Amerika Syarikat (AS) dan Iran meneruskan rundingan bagi mencari penyelesaian, yang sebahagian besarnya masih sukar dicapai.

“Perkembangan terkini menunjukkan bahawa Presiden AS Donald Trump telah membatalkan rancangan untuk menyerang Iran memandangkan rundingan serius dengan Tehran sedang berlangsung,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata walaupun rundingan antara AS dan Iran masih dilaksanakan, kenaikan harga minyak mentah menunjukkan bahawa kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik yang semakin meningkat masih berterusan.

“Bagaimanapun, harga minyak mentah West Texas Intermediate dan Brent masing-masing meningkat sebanyak 3.07 peratus dan 2.60 peratus kepada AS$108.66 setong dan AS$112.10 setong.

“Sementara itu, indeks dolar AS (DXY) menyusut 0.34 peratus kepada 98.947 mata,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil 3.96 hingga 3.97 berbanding dolar AS hari ini.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu susut berbanding pound Britain kepada 5.3336/3410 daripada 5.3078/3145 semasa ditutup pada Isnin, rendah berbanding euro kepada 4.6276/6340 daripada 4.6214/6272 sebelumnya dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.4992/5028 daripada 2.4991/5024.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau.

Mata wang tempatan susut berbanding baht Thailand kepada 12.2053/2305 daripada 12.1646/1848 dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.1056/1104 daripada 3.1036/1078 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.7/225.1 daripada 224.8/225.1 sebelumnya.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.44 daripada 6.43/6.45 sebelumnya.- Bernama

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.