NEW YORK: Ribut tropika Isaias meragut empat nyawa ketika membadai pinggir laut di timur Amerika Syarikat (AS) membawa angin kencang dan hujan lebat, menyebabkan jutaan isi rumah terputus bekalan elektrik semalam.
Gabenor New York, Roy Cooper, berkata puting beliung yang memusnahkan sebuah van di Carolina Utara meragut dua nyawa, manakala dua lagi maut apabila pokok tumbang menghempap kereta, masing-masing seorang di New York dan Maryland.
Ribut tropika itu semakin perlahan ketika menuju ke arah Kanada, dengan pengkaji cuaca memberi amaran kehadiran hujan lebat.
Terdahulu, angin kencang berkelajuan 80 kilometer sejam melanda beberapa negeri di timur AS, menyebabkan jalan raya penuh dengan pelbagai serpihan dan menyebabkan puluhan penerbangan ditangguhkan.
Syarikat utiliti melaporkan kira-kira tiga juta rumah terputus bekalan elektrik awal semalam di beberapa negeri, dengan New Jersey dan New York paling teruk terkesan.
Kata Cooper, Isaias sudah melanda Carolina Utara dan kini jalan raya sedang dibersihkan dan bekalan elektrik sedang dipulihkan.
“Ketika usaha pembersihan berjalan, jangan lupa kita masih berdepan pandemik Covid-19. Bantulah jiran anda, tapi lakukannya dengan berhati-hati dengan memakai pelitup muka, jaga jarak dan bawa cecair pembasmi kuman,” katanya. – AFP