KUCHING; Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa negeri di seluruh negara petang ini.
Amaran itu dikeluarkan susulan terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Ia memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku di Perak , Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah.
Di Sarawak, kejadian itu dijangka dialami di kawasan Miri dan Marudi, selain pedalaman Sipitang, Beaufort, Papar Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran serta Lahad Datu di Sabah.
Di Perak, kejadian itu membabitkan Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.
Manakala di Pahang ia membabitkan Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran dan Bera.
Kawasan Lembah Klang pula membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Turut terbabit Negeri Sembilan dan Melaka.