
POTSDAM (Jerman): Ribuan penduduk dipindahkan menjelang operasi yang dirancang untuk menyahaktifkan sebutir bom seberat 250 kilogram dari era Perang Dunia Kedua yang ditemukan di bandar Potsdam, berhampiran Berlin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sekitarsa 6,500 penduduk yang tinggal di kawasan terjejas diminta berpindah sebelum 8.30 pagi (0630 GMT) pada Selasa ketika petugas kecemasan menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penduduk meninggalkan kawasan berkenaan, menurut jurucakap pentadbiran bandar itu.
Perkhidmatan kereta api di stesen utama bandar itu turut digantung.
Zon larangan dengan radius 700 meter diwujudkan di kawasan sekitar bom buatan Amerika Syarikat itu ditemukan semasa kerja pembinaan di pusat bandar.
Pakar pelupusan bom Mike Schwitzke berkata operasi menyahaktifkan bom itu mengambil masa antara 30 minit hingga sejam.
Penemuan bahan letupan yang tidak meletup dari era Perang Dunia Kedua bukan sesuatu yang luar biasa di Jerman walaupun lebih 80 tahun berlalu sejak perang itu berakhir.
Bom berkenaan lazimnya ditemukan ketika kerja pembinaan dijalankan dan kadangkala mengakibatkan operasi pemindahan penduduk secara besar-besaran. – Bernama