SATU ketika dahulu, perahu tambang merupakan medium pengangkutan penting di Sungai Sarawak. Namun apabila pembangunan mula meluas di sekitar bandar raya ini, sedikit demi sedikit peranannya mula terhakis.
Selepas Jambatan Darulhana dibina merentangi Sungai Sarawak, jumlah perahu tambang sudah boleh dihitung dengan jari. Malah fungsi perahu tambang berubah sepenuhnya, dari menjadi medium pengangkutan kepada ikon kecil pelancongan bagi menggambarkan salah satu identiti Kuching.
Namun jika fungsi ikon kecil ini tidak diperluaskan, satu hari nanti ia akan terus menjadi sejarah. Tidak mahu identiti ini terus lenyap ditelan arus kemajuan, keluarga Safrizaman Muhamad, 24, dari Petrajaya gigih menghasilkan barangan cenderamata berupa perahu tambang dan pelbagai jenis bot untk dibawa pulang sebagai buah tangan dari Kuching oleh para pelawat.
Menurut Safrizaman Muhammad, 24, pihaknya sedar identiti Kuching tidak lari dari Sungai Sarawak dan di sungai ini ada ikon kecil yang menarik untuk dijadikan kenangan setiap kali melawat bandar raya ini.
“Justeru kami ingin pelawat membawa pulang cenderamata yang sememangnya sinonim dengan Kuching iaitu replika perahu tambang Sungai Sarawak,” kata beliau yang mengusahakan syarikat pengeluaran replika kraf tangan dan produk perahu berkualiti premium yang diasaskan oleh ayah beliau.
Syarikat ini mengeluarkan kraf tangan dan produk kayu buatan tangan berkualiti premium yang sesuai dijadikan cenderamata, dari orang biasa hinggalah kalangan orang ternama. Malah kata Safrizaman, pihaknya pernah menghasilkan replika Dewan Undangan Negeri untuk dihadiahkan oleh Kerajaan Sarawak kepada Sultan Brunei.
Bagaimanapun kata beliau, fokus utama mereka adalah cenderamata berupa replika perahu tambang dan pelbagai jenis bot yang biasa digunakan di negeri ini. Sementara itu,kayu yang biasa digunakan dari jenis Nyatoh dan Pine, manakala saiz pula dari miniatur hingga dua kaki panjang dan tujuh sentimeter lebar.
Bercerita lanjut, Safrizaman berkata matlamat mereka adalah untuk mendedahkan kepada orang luar Kuching dan pelancong bahawa Sungai Sarawak pernah memainkan peranan penting dalam kehidupan warga Kuching sebelum ini.
Selain itu, mereka juga mahu mendedahkan generasi muda tentang jenis-jenis perahu yang menjadi agen pengangkutan penting, bukan sahaja di Sungai Sarawak tetapi di bahagian-bahagian lain di negeri ini.
“Selain untuk meraikan kenangan orang lama, kami juga mahu mendidik anak-anak muda tentang sejarah pengangkutan di negeri ini. Ramai anak muda sekarang yang tak tahu bagaimana bentuk perahu bidar, perahu nelayan dan sebagainya,” kata beliau.
Menurut Safrizaman, ayah mereka memang terlatih di dalam pembuatan kraf tangan dari produk kayu ini dan ilmu itu diturunkan kepada anak-anak. Dengan penyertaan anak-anak, maka tercetus idea untuk menubuhkan syarikat bagi mengendalikan urusan pengeluaran produk dengan lebih teratur.
Selaku orang paling berpengalaman, ayahnya yang mengawal kualiti produk keluaran dengan dengan nasihat Kraftangan Malaysia. Untuk terus kekal relevan di dalam bidang ini, mereka memastikan produk sentiasa mengikuti trend semasa.
Melalui bengkel di Pusat Inkubator Kraftangan di Perbadanan Kraftangan Malaysia, mereka terus berkarya untuk menghasilkan sebanyak mungkin barangan cenderamata. Malah mereka juga tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan-tempahan pelanggan, bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga dari luar seperti Brunei dan Timur Tengah.
Menurut Safrizaman, menjadi harapan pihaknya untuk meneruskan perusahaan keluarga ini dengan mempelagaikan lagi pengeluaran mereka. Bagaimanapun katanya, mereka akan terus mengekalkan identiti Sarawak di dalam produk-produk keluaran mereka demi memelihara warisan silam rakyat dan negeri ini.
Oleh HAINI DARANI