SPAOH: Kerajaan Sarawak akan membina replika Kubu Rentap di puncak Bukit Sadok sebagai satu produk pelancongan di bahagian Betong.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan RM16 juta telah diluluskan kerajaan Sarawak untuk projek itu.
Katanya, Majlis Daerah Betong adalah agensi pelaksana projek di Bukit Sadok yang terkenal dengan sejarah sebagai tapak kubu pahlawan Iban iaitu Panglima Rentap.
“Majlis Daerah Betong masih lagi di peringkat memuktamadkan reka bentuk replika kubu itu,” katanya ketika membincangkan projek terbabit yang turut dihadiri Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, di Pejabat Daerah Kecil Spaoh di sini.
Uggah berkata, projek itu dibahagi kepada empat komponen utama iaitu membina replika Kubu Rentap di puncak Bukit Sadok dan naik taraf trek pendakian sepanjang 3.4 kilometer (km) ke puncak itu.
Kompenen lain ialah membina pusat pelawat dan tempat letak kereta di kaki bukit itu serta naik taraf jalan masuk menuju ke kaki bukit itu.