Bergotong-royong bersama komuniti Kuching Family Park
Sebilangan besar remaja hari ini kurang melibatkan diri dengan masyarakat kerana sibuk dengan aktiviti diri sendiri, selain tidak melihat tentang kepentingan untuk berbakti kepada komuniti atau merapatkan diri dengan komuniti.
Menyedari kepincangan yang semakin ketara dalam kalangan remaja ini, Kolej Vokasional Matang pada 11 Mac lalu menganjurkan Program Gotong Royong Remaja Prihatin bersama komuniti Kejiranan Mesra Kuching Family Park (KFP).
Seramai 217 pelajar dan tujuh pensyarah bersama 50 warga KFP berganding bahu untuk mengutip sampah, membersihkan taman botani dan Masjid Ar-Rahman di dalam gotong-royong berkenaan.
Selain itu, program sampingan turut diadakan seperti zumba serta pameran peluang pekerjaan, pameran peluang pekerjaan, pameran sukan, simulasi dan lain-lain lagi
bagi menambah kemeriahan aktiviti.
Hujan lebat sepanjang hari berkenaan tidak melemahkan semangat semua remaja terlibat untuk mencapai sasaran program berkenaan. Malah mereka tetap bersemangat untuk meneruskan kerja meskipun terpaksa bermandi hujan sehingga tugasan selesai dengan jayanya.
Menurut jurucakap dari Kolej Vokasional Kuching, program ini melibatkan para Pelajar Diploma Vokasional Tahun 1 Semester 2 untuk melengkapkan Projek PB bagi Subjek Khidmat Komuniti MPU2412.
Melalui program ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada semua pelajar agar memanfaatkan sebahagian daripada masa mereka untuk berbakti kepada komuniti, tidak kira di mana mereka berada.
Selain itu, ia juga dapat memupuk silaturahim di antara pihak kolej bersama komuniti KFP bagi memudahkan lagi penganjuran aktiviti lain pada masa akan datang. Peluang berkenaan juga memberi kesempatan kepada para remaja untuk mendekatkan diri dengan warga lebih berusia untuk memupuk rasa hormat dan persefahaman yang lebih baik.
Oleh HAINI DARANI