BAGI individu yang kerap menaiki kapal terbang, kebiasaannya mereka akan kenal model kapal terbang yang dinaiki.
Bukan sekadar menyebut nama syarikat pengeluar seperti Boeing atau Airbus, malah mungkin tahu versi model kapal terbang tersebut walaupun bagi kebanyakan orang, “rupa” kapal terbang lebih kurang sama sahaja.
Selain Boeing atau Airbus, masih ada banyak syarikat pengeluar kapal terbang komersial lain antaranya Avions de Transport Régional (ATR) dari Itali, De Havilland Canada (DHC) dari Kanada, Commercial Aircraft Corporation of China (COMAC) dari China, Embraer dari Brazil dan lain-lain lagi.
Setiap syarikat ini bersaing untuk menawarkan ciri-ciri yang diperlukan oleh syarikat penerbangan bagi memenuhi keperluan pasaran yang unik, sesuai dengan model perniagaan masing-masing.
Secara umumnya, semua syarikat penerbangan inginkan kapal terbang yang murah tetapi berkualiti terutama jika ia dapat membantu memastikan kos operasi rendah seperti cekap dalam penggunaan bahan api dan kos penyelenggaraan yang minimum.
Jika dilihat sepintas lalu, sememangnya “rupa” kapal terbang ini seakan-akan sama namun hakikatnya, setiap kapal terbang mempunyai spesifikasi unik yang membezakan antara satu sama lain.
Setiap syarikat pengeluar akan menonjolkan ciri-ciri tersendiri yang direka agar identiti syarikat dapat dikenali dengan mudah dan memberikan kelebihan kompetitif dalam memenuhi keperluan spesifik pelanggan.
Perbezaan ini boleh diperhatikan dari segi saiz sama ada lebih panjang atau lebih besar, jenis enjin atau jumlah enjin yang dipasang, bentuk sayap dan lain-lain lagi.
Setiap syarikat akan mengeluarkan beberapa model mengikut spesifikasi masing-masing malah setiap model juga akan ada beberapa versi yang dipertingkatkan berbanding versi sebelumnya.
Dengan perbezaan ini, maka setiap kapal terbang yang dikeluarkan akan dapat memenuhi keperluan syarikat penerbangan yang memerlukan kriteria tertentu contohnya kapasiti muatan penumpang yang lebih ramai atau terhad, keupayaan untuk terbang jarak dekat atau jauh, kemudahan lapangan terbang sedia ada untuk pengurusan penumpang dan sebagainya.
Disebabkan itu, syarikat pengeluar akan berlumba-lumba mencipta atau mengemaskini reka bentuk dan teknologi kapal terbang masing-masing supaya dapat memenuhi permintaan pasaran yang kompetitif.
Boeing pernah mengeluarkan kapal terbang Boeing 747 yang juga dikenali sebagai “Jumbo Jet” pada 1970. Kapal terbang ini berkemampuan membawa penumpang maksimum dalam 500 orang dan terbang untuk jarak jauh sehingga 13,000 kilometer (km).
Populariti kapal terbang ini telah mendorong Airbus berusaha mengatasinya dengan membina kapal terbang A380 yang dilancarkan pada 2007. Kapal terbang ini terbukti dapat membawa lebih ramai penumpang iaitu seramai 800 orang dengan jarak terbang sehingga 15,000 km.
Kapal terbang “raksasa” ini menjadi pilihan kepada syarikat penerbangan menawarkan penerbangan jarak jauh yang mewah dan selesa seperti Emirates Airlines yang memiliki lebih 100 kapal terbang A380 manakala kapal terbang Boeing 747 masih aktif digunakan oleh syarikat penerbangan Lufthansa.
Sungguhpun demikian, pengeluaran kedua-dua kapal terbang ikonik ini telah dihentikan disebabkan oleh perubahan dalam permintaan pasaran dan faktor ekonomi yang semakin tidak menguntungkan untuk mengoperasikan kapal terbang bersaiz besar.
Bagi menggantikan kapal terbang B747 dan A380, kedua-dua syarikat penerbangan Boeing dan Airbus telah memperkenalkan model pesawat yang lebih efisien dari segi bahan api dan kos operasi tetapi dengan kapasiti penumpang lebih sederhana berbanding pesawat raksasa tersebut.
Boeing memperkenalkan Boeing 777X iaitu versi terkini dalam keluarga 777. Kapal terbang ini direka untuk membawa penumpang sehingga 420 orang dengan jarak terbang sejauh 16,170 km.
Airbus pula memperkenalkan A350 bagi membawa penumpang seramai 410 orang dan mampu terbang sejauh 15,000 km. Keupayaan ini menjadikan kedua-dua kapal terbang ini dipilih oleh syarikat penerbangan seperti Qatar Airways dan Singapore Airlines untuk laluan jarak jauh yang sibuk.
Bagi memenuhi keperluan segmen perjalanan jarak sederhana pula, beberapa syarikat penerbangan menjadikan enjin turbofan sebagai taruhan masing-masing yang memberikan kuasa optimum dan kecekapan lebih baik untuk penerbangan frekuensi tinggi.
Enjin-enjin yang dipasang dapat memberikan kecekapan bahan api, prestasi boleh dipercayai dan penyelenggaraan yang mudah.
Syarikat penerbangan seperti AirAsia dan IndiGo misalnya, cenderung menggunakan A320 yang dibina oleh Airbus, mempunyai keupayaannya untuk membawa antara 150 hingga 180 penumpang. A320 juga ada versi A320neo yang digunakan secara meluas oleh syarikat penerbangan tambang murah kerana ia menawarkan kos operasi yang rendah dan fleksibiliti untuk penerbangan domestik dan serantau.
Sementara itu, Boeing 737-800 menjadi pilihan syarikat seperti Ryanair dan Southwest Airlines yang mampu membawa sehingga 180 penumpang. Kapal terbang ini digunakan untuk laluan serantau dan domestik di Eropah dan Amerika Utara.
Selain itu, Embraer E195-E2 menawarkan kapasiti lebih kecil iaitu sekitar 100 hingga 150 penumpang yang banyak digunakan di laluan domestik serta serantau jarak sederhana oleh Azul Brazilian Airlines di Brazil.
Tidak semua tempat dapat menerima kapal terbang bersaiz besar yang menggunakan enjin berkuasa tinggi disebabkan kekangan landasan yang ada selain penggunaan yang tidak praktikal untuk jarak dekat.
Dalam situasi seperti ini, kapal terbang turboprop yang dikeluarkan oleh ATR menjadi pilihan ideal bagi syarikat penerbangan kerana ia lebih efisien pada kelajuan rendah untuk jarak pendek seterusnya menjadikannya lebih ekonomik.
Kapal terbang ATR 72 yang dapat memuatkan seramai 70 penumpang contohnya direka khusus untuk beroperasi di lapangan terbang dengan landasan pendek dan infrastruktur terhad seperti lapangan terbang di Tanjung Manis, Mukah, Limbang dan Mulu yang digunakan oleh MASwing. Bagi kawasan pedalaman seperti Long Seridan, Bario dan Ba’ kelalan, tempat seperti ini memerlukan kapal terbang yang lebih kecil dan tahan lasak.
Maka, syarikat pengeluar seperti DHC menawarkan kapal terbang Dhc-6 Twin Otter dan juga digunakan oleh MASwing, iaitu kapal terbang yang dilengkapi dengan enjin turboprop dan dapat memuatkan seramai 20 orang penumpang.
Daripada ini, kita boleh perhatikan bahawa setiap kapal terbang yang kita naiki mempunyai kelebihan tersendiri yang direka cipta oleh syarikat pengeluar bagi membolehkan syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan lebih berkesan dan sesuai dengan keperluan penumpang, selain dapat mengaut keuntungan yang maksimum.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.