Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Rehat berkualiti, hidup lebih bererti
  • RENCANA

Rehat berkualiti, hidup lebih bererti

Utusan Sarawak 6 hours ago
PENGUNJUNG mengambil kesempatan sempena cuti sekolah dengan menikmati kesejukan air sungai di Lata Ulu Chepor, Ipoh susulan cuaca panas baru-baru ini. Foto BERNAMA

DALAM kehidupan yang serba pantas pada hari ini, kita sering kali mengejar kejayaan, kekayaan dan pencapaian tanpa menyedari bahawa tubuh dan minda mempunyai hak untuk berehat.

Ramai yang menganggap rehat sebagai tanda kelemahan atau kemalasan, sedangkan hakikatnya rehat yang berkualiti adalah keperluan asas untuk memastikan kehidupan yang seimbang dan bermakna.

Tanpa rehat yang mencukupi, sesorang bukan sahaja mudah letih, malah berisiko mengalami tekanan emosi, gangguan kesihatan dan penurunan produktiviti.

Justru, rehat yang berkualiti bukan sekadar tidur dalam tempoh yang lama, tetapi merangkumi keadaan tubuh dan minda yang benar-benar tenang serta pulih daripada keletihan.

Ia melibatkan tidur yang cukup, masa santai yang bermanfaat, serta ketenangan jiwa melalui ibadah dan hubungan dengan Allah SWT.

Apabila seseorang mendapat rehat yang berkualiti, tubuh menjadi lebih bertenaga, fikiran lebih fokus, dan emosi lebih stabil. Ini membolehkan seseorang menjalani kehidupan dengan lebih teratur dan penuh makna.

Dari sudut kesihatan, rehat memainkan peranan penting dalam memulihkan tenaga dan memperbaiki fungsi tubuh. Tidur yang cukup membantu sistem imun melawan penyakit, meningkatkan daya ingatan, serta mengekalkan keseimbangan hormon.

Sebaliknya, kekurangan rehat boleh menyebabkan keletihan kronik, mudah marah, kurang tumpuan dan pelbagai masalah kesihatan lain. Oleh itu, menjaga waktu rehat adalah sama pentingnya dengan menjaga pemakanan dan senaman.

Dalam Islam, konsep rehat telah lama ditekankan sebagai sebahagian daripada fitrah manusia. Allah SWT berfirman dalam al-Quran: “Dan Kami jadikan tidur kamu untuk berehat.” (Surah An-Naba’: 9)

Ini membuktikan bahawa Islam sangat menitikberatkan keseimbangan antara kerja dan rehat. Manusia tidak diciptakan untuk bekerja tanpa henti, tetapi perlu mengatur masa dengan bijak agar tubuh dan jiwa sentiasa dalam keadaan baik.

Rehat Sebagai Kunci Keseimbangan Hidup

Rasulullah SAW juga menunjukkan contoh terbaik dalam mengurus waktu rehat. Baginda bukan sahaja kuat beribadah, malah tetap menjaga kesihatan tubuh dengan memberi hak rehat yang secukupnya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tubuh badanmu mempunyai hak ke atasmu.” (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW juga mengamalkan tidur qaillulah (tidur sebentar pada waktu tengah hari) bagi memulihkan tenaga. Amalan ini terbukti memberi manfaat kepada tubuh dan meningkatkan produktiviti sepanjang hari.

Ini menunjukkan bahawa rehat yang singkat tetapi berkualiti juga mampu memberi kesan besar kepada kehidupan seharian.

Rehat berkualiti juga berkait rapat dengan ketenangan jiwa.

Dalam dunia yang penuh tekanan, ramai yang mengalami stres akibat beban kerja, masalah kewangan dan cabaran hidup.

Rehat yang sebenar bukan hanya untuk tubuh, tetapi juga untuk hati. Salah satu cara terbaik untuk mendapatkan ketenangan adalah dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah seperti solat, zikir dan membaca al-Quran.

Firman Allah: “Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’d: 28)

Apabila hati tenang, rehat yang diperoleh menjadi lebih berkualiti. Sebaliknya, jika hati gelisah, walaupun seseorang tidur lama, dia tetap akan berasa penat dan tidak segar.

Di samping itu, pengurusan masa yang baik juga memainkan peranan penting dalam memastikan rehat yang mencukupi.

Seseorang perlu bijak membahagikan masa antara kerja, ibadah, keluarga dan rehat. Mengamalkan gaya hidup seimbang akan membantu seseorang mencapai kebahagiaan yang sebenar.

Rehat yang berkualiti bukan bermaksud bermalas-malasan, tetapi memberi ruang kepada diri untuk memulihkan tenaga agar dapat kembali berusaha dengan lebih baik.

Kisah imam Syafi’i, tinggi dengan ilmu dan rendah diri

IMAM Syafi‘i, atau nama penuhnya Muhammad bin Idris al-Syafi‘i, merupakan antara imam mazhab yang paling berpengaruh dalam dunia Islam.

Beliau terkenal dengan kecerdasan akal dan keluasan ilmunya sejak kecil lagi. Diceritakan bahawa beliau menghafal al-Quran sepenuhnya pada usia tujuh tahun dan menguasai kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik ketika berumur sepuluh tahun.

Satu peristiwa menarik pernah berlaku ketika beliau mengajar di Masjid al-Haram. Ketika sedang mengupas satu hukum fiqh, seorang lelaki tua bangun dan bertanya:

“Wahai Syafi‘i, adakah kamu pasti dengan jawapanmu?” Imam Syafi‘i tidak terus menjawab dengan rasa bangga, sebaliknya tunduk sebentar dan berkata, “Aku akan semak kembali pendapatku, mungkin ada yang lebih benar daripada apa yang aku katakan.”

Kisah ini menggambarkan sifat rendah diri dan hati-hati Imam Syafi‘i walaupun beliau sangat alim dan diiktiraf sebagai ulama besar.

Bagi beliau, kebenaran itu lebih utama daripada mempertahankan pendapat sendiri. Bahkan beliau pernah berkata, “Pendapatku benar, tetapi mungkin salah. Pendapat orang lain salah, tetapi mungkin benar.”

Beliau juga sangat menjaga adab dalam majlis ilmu. Pernah suatu ketika, beliau tidak menegur atau membantah pandangan gurunya secara terbuka walaupun beliau mengetahui pendapat yang lebih tepat.

Beliau memilih untuk bertanya secara berhikmah di luar majlis supaya tidak menjatuhkan maruah gurunya.

Keikhlasan dan kerendahan hati inilah yang menyebabkan ilmunya diberkati dan diterima ramai. Mazhab Syafi‘i kini menjadi pegangan utama umat Islam di banyak negara termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei dan Mesir.

Kisah Imam Syafi‘i menjadi contoh jelas bahawa kejayaan seseorang penuntut ilmu bukan hanya diukur melalui kecerdasan semata-mata, tetapi juga melalui keikhlasan hati, adab, dan kesungguhan dalam menuntut ilmu kerana Allah SWT.

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini ialah, dalam menuntut ilmu atau menyampaikan sesuatu, kita harus bersikap tawaduk dan terbuka.

Ilmu bukan untuk bermegah-megah, sebaliknya sebagai jalan menuju kebenaran dan keredaan Allah SWT. Keikhlasan dan adab dalam menyampaikan ilmu lebih utama daripada menunjuk pandai.

Sebagaimana Imam Syafi‘i, makin tinggi ilmunya, makin dalam rasa takutnya kepada Allah dan makin besar sifat rendah dirinya.

Oleh Hanzalah Azman

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Dulu dibuang, kucing wira balas budi dengan derma darah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.