KUCHING: Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman menggesa agar semua pihak terus bersama dalam merealisasikan visi bandar raya yang mampan dan berdaya saing.
Menurutnya, beliau memberi penghargaan kepada warga bandar raya atas kerjasama padu diberikan sepanjang tahun lalu.
Katanya, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sentiasa komited untuk memastikan pembangunan di kawasan pentadbiran Kuching Utara berjalan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), seperti yang diilhamkan oleh kerajaan Sarawak.
“PCDS 2030 adalah panduan utama kami dalam memperkukuh infrastruktur, meningkatkan perkhidmatan awam dan mendorong pertumbuhan ekonomi yang inklusif di Kuching Utara.
“Kami juga menitikberatkan aspek kelestarian alam sekitar dalam setiap langkah pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan Perutusan Tahun Baharu 2025, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas visi kepimpinan yang jelas dan sokongan padu dalam memajukan Kuching Utara.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, pelbagai inisiatif telah berjaya dilaksanakan, termasuk pembangunan infrastruktur moden, peningkatan taraf hidup masyarakat, dan pembukaan peluang ekonomi.
“Sokongan Premier Sarawak bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, yang juga Menteri Bertanggungjawab DBKU, telah memberi impak positif besar kepada bandar raya ini,” katanya.
Pada masa sama, mengulas tentang rancangan untuk 2025, DBKU akan terus memfokuskan kepada pembangunan digital, ekonomi hijau, serta penyediaan kemudahan awam yang moden dan mesra rakyat.
“Kami bercita-cita untuk menjadikan Kuching Utara sebagai bandar raya yang selesa didiami semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan warga emas, di samping memastikan ekonomi yang inklusif dan mampan,” katanya.
“DBKU juga akan memperluas program komuniti bagi memastikan warga bandaraya Kuching terus bersatu padu, progresif dan inovatif dalam menghadapi cabaran global,” katanya.
Hilmy menggesa seluruh warga Kuching Utara untuk bersama-sama menyambut tahun baharu dengan azam dan semangat baharu, serta tekad untuk menjadikan bandaraya ini lebih bersih, cantik, selamat, pintar dan lestari.