
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 3 Nov.
Ketua Jabatan Haji TH Mohd Hisham Harun dalam kenyataan hari ini, berkata TH membuka proses rayuan haji lebih awal bagi memberi kemudahan kepada bakal haji untuk membuat persediaan dengan lebih rapi dan memastikan proses permohonan rayuan dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Bagi permohonan rayuan luar giliran bagi tahun haji semasa, beberapa kriteria akan diambil kira dalam proses pertimbangan merit permohonan antaranya tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan akaun TH, kekerapan permohonan rayuan serta kehadiran ke Kursus Asas Haji dikendalikan TH,” katanya.
Beliau berkata permohonan rayuan haji terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan minimum RM15,000 dalam akaun TH masing-masing.
Kadar bayaran haji ditetapkan kepada jemaah terpilih melalui proses rayuan ialah kos haji penuh sebanyak RM33,300 bagi musim haji 1447H/2026M, selaras dengan konsep istitoah (kemampuan).
“Seperti tahun sebelumnya, TH akan memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram dan pengiring jemaah lanjut usia serta jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji bagi musim haji 1447H/2026M,” katanya.
Pendeposit boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses permohonan, semakan kategori rayuan dan status permohonan melalui aplikasi THiJARI atau laman sesawang www.thijari.com.my.
Orang ramai boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) menerusi talian 03-6207 1919 untuk pertanyaan.
-BERNAMA