BANDAR SERI BEGAWAN: Rangkaian jalan perhubungan darat di utara Sarawak yang melibatkan jajaran Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) dari Miri melalui Brunei hingga ke Sabah, serta Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR) tanpa melalui Brunei, dijangka memperkukuh Koridor Ekonomi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rangkaian jalan tersebut, khususnya NCH, dijangka mempercepatkan pergerakan rakyat, barangan dan perkhidmatan, di samping mengurangkan masa perjalanan serta kos logistik.
Menurutnya, pembangunan itu akan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan sekali gus memperkukuh koridor ekonomi BIMP-EAGA.
“Untuk makluman, Sarawak sedang melaksanakan pembangunan Northern Road Network sebagai inisiatif strategik bagi meningkatkan hubungan darat antara utara Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.

“Pembangunan ini juga akan membuka lebih banyak peluang perdagangan rentas sempadan, menarik pelaburan dalam sektor perindustrian, perdagangan, pelancongan dan logistik, di samping mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkasakan pembangunan komuniti di kawasan sempadan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Dato Seri Setia Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Beliau berkata, pembinaan jalan baharu dan sambungan paip bekalan air dari Nanga Medamit ke Rumah Aling, serta jalan yang menghubungkan sempadan Malaysia-Indonesia ke Ba’ Kelalan, dijangka siap menjelang 2028.
“Sementara itu, Lebuh Raya Pesisir Utara (Northern Coastal Highway) sepanjang 87.96 kilometer telah memulakan pembinaan pada September 2025 dan dijangka siap pada 2029,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan Projek Jalan Penghubung Sabah-Sarawak (SSLR) merupakan komponen utama Northern Road Network yang bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara utara Sarawak dengan Sabah serta kawasan pedalaman.
“SSLR Fasa 1 melibatkan pembinaan jalan sepanjang 75.6 kilometer yang menghubungkan Lawas dengan Persimpangan Long Lopeng dan dijangka siap pada 2026.
“Manakala SSLR Fasa 2 melibatkan pembinaan jalan sepanjang 257 kilometer yang merangkumi jajaran Mulu–Long Seridan–Nanga Medamit (Pakej 1 dan 2), Long Lopeng–Long Komap–Ba’ Kelalan (Pakej 3) serta Limbang–Long Merarap (Pakej 4), yang dijangka siap menjelang Mac 2029.
“Apabila siap kelak, rangkaian jalan ini akan meningkatkan akses ke kawasan pedalaman, merangsang pembangunan ekonomi serta memperkukuh hubungan antara utara Sarawak dengan kawasan sempadan,” katanya.
Dalam sektor pertanian, kerajaan Sarawak turut mewartakan kawasan seluas 2,635.126 hektar bagi pembangunan penanaman padi, termasuk 129.49 hektar di Limbang dan Lawas yang meliputi kawasan Tedungan, Bambangan dan Skim Sundar Area B.
Beliau berkata, kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan padi komersial ialah Kampung Pandam di Limbang seluas kira-kira 1,006 hektar, Skim Sundar di Lawas seluas kira-kira 616 hektar, serta kawasan Merapok yang berpotensi untuk diperluaskan.
Katanya, Jabatan Pertanian turut mengenal pasti kawasan baharu yang sesuai bagi pembangunan tanaman padi.
Selain itu, Sarawak menyasarkan peningkatan kadar sara diri daging lembu dan kerbau daripada 15.9 peratus pada 2025 kepada 25 peratus menjelang 2030.
Sasaran populasi ternakan ialah 25,000 ekor, terdiri daripada 17,000 kerbau, 5,000 lembu dan 3,000 kambing.
Kawasan keutamaan meliputi Ba’ Kelalan, Long Semadoh, Long Sukang, Lawas Damit, Pa’ Putih, Trusan, Sundar, Merapok, Batu Danau dan Bidang.
“Sarawak melihat potensi kerjasama dengan Brunei melalui usaha sama, ladang kontrak dan pelaburan swasta bagi membekalkan ternakan ke pasaran Brunei, khususnya semasa sambutan Hari Raya Korban.
“Bagi pembangunan akuakultur pula, kerajaan telah mengenal pasti kawasan di Limbang dan Lawas, khususnya Sundar dan Awat-Awat, untuk pembangunan akuakultur komersial secara berkelompok.
“Ini membuka peluang kerjasama dalam penternakan ikan sangkar, pembangunan kluster akuakultur serta industri hiliran perikanan. Kedudukan yang berhampiran dengan Brunei turut membuka ruang kepada pelaburan bersama, pemindahan teknologi, pengeluaran komersial dan peluasan akses pasaran,” katanya.
Oleh Adeng Edrus




