
KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Sarawak telah melancarkan satu operasi khas yang membawa kepada kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang menyasarkan pasaran Sarawak, dengan nilai rampasan mencecah RM3.07 juta.
Menurut Pengarah JSJN, CP Dato’ Hussein Omar Khan, kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras jenayah dadah yang merupakan musuh nombor satu negara, demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara.
“Dadah tersebut dipercayai dibawa masuk dari Semenanjung Malaysia melalui laluan udara, berkemungkinan besar sebagai transit untuk dihantar ke Kalimantan, Indonesia. Terdapat kelompangan dalam sistem pemeriksaan di lapangan terbang, sama ada melalui bagasi tercatat, penghantaran kurier atau kaedah lain,” katanya.
Beliau turut menyatakan, pihak polis tidak menolak kemungkinan terdapat pembabitan orang dalam yang memudahkan kemasukan dadah ke negeri ini. Risikan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat, termasuk individu atau kumpulan yang membawa masuk dadah dari Semenanjung dan menjualnya kepada suspek yang ditangkap.
“Pihak kami sedang bekerjasama dengan Agensi Kawalan Penerbangan dan Sempadan (AKPS) untuk mempertingkatkan kawalan di semua pintu masuk termasuk lapangan terbang dan laluan domestik. Saya juga mencadangkan supaya sistem pengimbasan x-ray berteknologi tinggi diperluas bagi mengesan penyeludupan dadah yang disorok dalam bungkusan,” tambah beliau.
“JSJN akan terus meningkatkan pengawasan dan operasi risikan bagi memerangi sindiket pengedaran dadah yang semakin licik. Ini bukan kali pertama dadah berjaya dibawa masuk melalui lapangan terbang dan kita akan pastikan kelemahan ini ditangani segera.”

Berdasarkan maklumat risikan, pada 19 Julai 2025 sekitar 8.50 malam, satu serbuan telah dijalankan di Kota Sentosa, Kuching dan berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza serta dua suspek lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 27 tahun.
Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tersebut membawa kepada penemuan satu beg berwarna hitam dan tiga kotak keperangan berisi 80 bungkusan hijau berjenama Guanyinwang yang mengandungi plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 83 kilogram. Jumlah ini dianggarkan bernilai RM3.07 juta dan mampu menjejaskan kesihatan serta keselamatan lebih 415,000 orang jika terlepas ke pasaran.
Modus operandi sindiket ini menggunakan kereta sebagai medium penghantaran dadah yang telah dipesan. Kenderaan akan ditinggalkan di satu lokasi dengan pintu tidak dikunci dan pembeli akan datang mengambil sendiri dadah tersebut. Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal 2025.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan, pesalah boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Julai 2025 bagi membantu siasatan. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek kedua positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala semakan rekod jenayah mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod kesalahan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan satu kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.
JSJN turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita wang tunai berjumlah RM1,100 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM3.07 juta.
Orang ramai digesa untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222.
Oleh Shikin Mahmud