
RAMADAN merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan, yang mana umat Islam diwajibkan untuk berpuasa.
Meskipun puasa pada Ramadan dan sering kali dikaitkan dengan menahan lapar dan dahaga, hakikatnya ia melibatkan aspek rohani dan jasmani yang jauh lebih mendalam.
Dalam menjalani ibadah puasa, seorang muslim bukan hanya berusaha menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan nafsu dan memperbaiki diri dalam segala aspek kehidupan.
Ini merupakan pulang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbaharui niat dalam menjalani kehidupan yang lebih baik.
Dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183)
Tujuan sebenar puasa adalah untuk memperoleh takwa, yakni menjaga diri daripada segala bentuk dosa dan perbuatan yang dapat mengurangkan nilai ibadah kita di sisi Allah SWT.
Oleh itu, puasa bukan hanya berkaitan dengan aspek fizikal seperti menahan lapar dan dahaga, tetapi juga merangkumi aspek mental dan rohani.
Justeru, dalam Ramadan umat Islam digalakkan untuk menumpukan perhatian kepada amal ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan memperbanyakkan doa agar dapat mencapai ketakwaan yang lebih tinggi.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW juga menekankan pentingnya niat yang ikhlas dalam menjalani ibadah puasa. Baginda SAW bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan mengharap pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Aspek sosial dan kemanusiaan dalam Ramadan
Selain daripada aspek keimanan, Ramadan juga memberikan peluang untuk memperbaiki hubungan sesama manusia.
Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amalan sosial seperti memberi sedekah, membantu mereka yang memerlukan serta mempererat hubungan silaturahim.
Salah satu amalan yang dianjurkan adalah berbuka puasa bersama, keluarga, jiran, atau rakan. Ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sosial, tetapi juga mendatangkan pahala besar.
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang memberi makan orang yang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Amalan berbuka puasa bersama juga memberi peluang untuk kita menunjukkan rasa simpati dan keperhatinan terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
Memberi makan kepada orang miskin atau mereka yang tidak mampu adalah satu bentuk amal jariah yang sangat dianjurkan dalam Islam, terutama pada Ramadan.
Zakat fitrah, yang wajib dikeluarkan sebelum solat Aidilfitri, merupakan salah satu cara untuk membersihkan harta dan membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Dalam hadis diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan perkataan keji, serta untuk memberi makan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Selain itu, Ramadan juga menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan amal kebaikan dan memperbaiki akhlak.
Dalam bulan ini, setiap umat Islam diingatkan untuk menjaga setiap tutur kata, tingkah laku dan tindakan agar tidak merosakkan pahala puasa mereka.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta, maka Allah tidak perlu kepadanya untuk meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kewarakan Zubair bin Awwam
SEJAK usia remajanya, Zubair bin Awwam sudah mendapat tarbiah dari Rasulullah SAW. Beliau merupakan antara orang yang terawal memeluk Islam.
Ketika majoriti penduduk Makkah masih lagi menyembah berhala, Zubair bin Awwam telah mengenali penciptanya.
Oleh itu, beliau tekun dalam melaksanakan ibadah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepadanya ketika zaman permulaan Islam.
Hasil dari didikan Rasulullah SAW sifat warak telah terbentuk dalam diri Zubair bin Awwam.
Diriwayatkan bahawa Zubair bin Awwam tidak pernah meninggalkan solat sunat walaupun ketika bermusafir.
Malah dalam beberapa keadaan beliau telah mengerjakan solat di atas kenderaannya semasa beliau berada di dalam perjalanan.
Ibnu Asakir meriwayatkan dari Abdullah bin Zubair, beliau berkata, “Aku bersama Zubair bin Awwam dari Syam ketika pulang dari perang Yarmuk.
Aku melihat beliau bersolat di atas kenderaannya dan beliau bersolat menghadap ke arah di mana sahaja hala tuju kenderaan tersebut.” Apa yang dilakukan oleh Zubair bin Awwam ini adalah mengikut sunah Rasulullah SAW.
Dari Ibnu Umar, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan solat sunat (di atas tunggangannya) menghadap ke arah mana haiwan tunggangannya menghadap. (Riwayat Muslim)
Selain itu, Zubair bin Awwam merupakan seorang yang suka melakukan amalan yang soleh. Beliau tidak suka kepada jawatan-jawatan di dunia.
Jika diberi beliau akan cuba mengelakkannya. Ketika di zaman pemerintahan Saidina Umar, beliau pernah menolak untuk menjadi gabenor Mesir.
Beliau juga menarik diri sebagai calon khalifah menggantikan Saidina Umar. Imam An Nasa’i dan Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan dari Zubair bin Awwam, beliau berkata, “Barangsiapa di antara kalian yang mampu menabung amal solehnya untuk akhirat, hendaklah dia melakukannya”.
Zubair bin Awwam juga sangat dikenali sebagai seorang yang jujur dan amanah. Sehinggakan ramai orang mengamanahkan harta mereka untuk dijaga dan diniagakan oleh Zubair bin Awwam.
Bahkan Saidina Umar sendiri menyarankan kepada orang ramai agar mereka mengamanahkan harta mereka kepada Zubair sekiranya mereka memerlukan khidmat pemegang amanah. Ramai dalam kalangan sahabat yang melantik Zubair bin Awwam sebagai pemegang amanah harta-harta mereka.
Oleh Hanzalah Azman