Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Ramadan di Gaza suram, dibelenggu duka kehilangan insan tersayang
  • GLOBAL

Ramadan di Gaza suram, dibelenggu duka kehilangan insan tersayang

Utusan Sarawak 2 months ago
REMAJA Palestin menjual lampu Ramadan di pasar Zawiya lama di Gaza City pada 28 Februari 2025, menjelang puasa Ramadan yang suci bagi umat Islam. Foto AFP

GAZA: Ketika umat Islam seluruh dunia menyambut kedatangan Ramadan dengan penuh keriangan dan keterujaan, suasana suram dan pilu menghimpit penduduk Gaza yang terus diselubungi perasaan kehilangan insan tersayang akibat konflik berpanjangan.

Muhammad Attaullah, 17, yang ditemui wartawan Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) di tengah bandar Gaza, hanya mampu memandang sayu deretan gerai yang dihiasi lampu dan juraian seadanya sempena ketibaan bulan mulia itu.

“Ini Ramadan kedua tanpa ayah di sisi kami,” katanya sebak.

Detik hitam pada 12 Feb tahun lalu, masih jelas di ingatan apabila ayahnya nekad ke Duwar Kuwait di selatan Gaza untuk mencari rezeki meskipun berdepan ancaman serangan Israel.

REMAJA Palestin menggantungkan hiasan menjelang puasa Ramadan, bulan suci umat Islam, di Khan Yunis di selatan Jalur Gaza pada 28 Februari 2025, di tengah-tengah gencatan senjata yang sedang berlangsung dalam perang antara Israel dan Hamas. Foto AFP

“Saya merayu supaya beliau tidak pergi, tetapi beliau tetap berkeras. Beliau pergi dan tidak kembali lagi.

“Jika meninggal dunia, mungkin saya boleh menerima kenyataan itu. Tetapi sehingga kini, beliau masih dianggap hilang,” katanya.

“Ada yang beranggapan beliau sudah tiada. Itu lebih menyakitkan,” luahnya pilu.

Ruba, 13, turut mengalami nasib serupa selepas kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam serangan ke atas sebuah sekolah yang menjadi tempat perlindungan mereka.

PENIAGA Palestin berposing untuk gambar di kedainya di pasar Zawiya lama di Bandar Gaza pada 28 Februari 2025, menjelang puasa Ramadan yang suci bagi umat Islam.

“Ibu, ayah dan adik-beradik saya semuanya telah tiada. Hanya saya dan nenek yang masih hidup,” katanya dengan suara bergetar.

“Dengan siapa saya akan berbuka puasa? Dengan siapa saya menanti azan? Siapa yang akan menyambut Aidilfitri bersama saya?” soalnya, seolah-olah masih berharap semua itu hanyalah mimpi buruk.

Gaza memasuki Ramadan kedua dalam keadaan serba kekurangan di samping krisis kemanusiaan yang semakin parah, selepas serangan Israel pada Oktober 2023.

SEORANG pemilik kedai menggantungkan sebuah lampu besar, menjelang puasa suci Ramadan bagi umat Islam, di Khan Yunis di selatan Jalur Gaza pada 28 Februari 2025

Menurut sumber perubatan, sekitar 10,000 penduduk dilaporkan hilang, manakala ramai dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Agensi kemanusiaan pula melaporkan lebih 70 peratus penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan, manakala sistem kesihatan hampir lumpuh akibat kekurangan ubat-ubatan dan tenaga perubatan.

Pelbagai entiti antarabangsa terus mendesak agar bantuan kemanusiaan dipercepatkan bagi meringankan penderitaan penduduk yang terpaksa menjalani Ramadan dalam suasana penuh kesukaran.

Fasa pertama gencatan senjata di Gaza dijadual berakhir hari ini, namun masih belum jelas sama ada Israel akan mencadangkan lanjutan fasa berkenaan.

Sejak konflik tercetus, serangan Israel meragut lebih 160,000 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan ribuan lagi. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Enam cedera selepas jambatan runtuh di Filipina
Next: Rakyat Palestin tunai solat tarawih di celah runtuhan masjid

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.