KUCHING: Rakyat Sarawak masih prihatin dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) walaupun keadaan Covid-19 sudah di fasa endemik.
Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng (gambar) berkata, beliau masih melihat sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat Sarawak masih menggunakan pelitup muka.
Katanya, berdasarkan pemerhatian sepanjang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, rakyat Sarawak yang datang berkunjung ke rumah terbuka berupaya menyesuaikan diri dengan norma baharu.
“Bagi saya, inilah budaya yang harus dikekalkan (pemakaian pelitup muka), walaupun rata-rata daripada kita sudah mendapat dos penggalak kedua.
“Perkara ini sangatlah digalakkan bagi melindungi keluarga, masyarakat dan rakan-rakan terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas mengadakan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina di kediamannya di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di rumah terbuka yang dianjurkan olehnya.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Oleh Mohd Neenatul Aizal dan Shahrul Qaizat