MARUDI: Rakyat di kawasan Baram perlu memberi sokongan keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap Tiga hingga 28 April ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau menggesa penduduk yang menetap di Ulu Baram mahupun di bandar harus mematuhi arahan itu supaya Baram /Marudi dikekalkan sebagai Zon Hijau.
Katanya, arahan kerajaan perlu kita patuhi untuk tidak bergerak ke mana-mana dan duduk di rumah sebagai langkah untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19.
Rakyat harus faham arahan kerajaan dan menerima keputusan pelanjutan PKP demi keselamatan rakyat dan negara.
Dalam pada itu, Dennis menegaskan bahawa kerajaan bertanggungjawab atas kebajikan rakyat sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.
Beliau melahirakan perasaan gembira kerana penduduk Ulu Baram menerima baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan PKP dengan hati terbuka.
Tegasnya, rata-rata penduduk Ulu Baram menerima keputusan itu bagi memastikan rakyat di kawasan ini bersih dan bebas daripada dijangkiti wabak berbahaya itu.
“Saya berharap pihak berkuasa tempatan mahupun kerajaan meneruskan kawalan ketat sepanjang PKP ini sama ada dalam dan luar kawasan Baram,” jelas Dennis.
Ujarnya, beliau gembira melihat kebanyakkan penduduk rumah panjang di kawasannya mengambil langkah berjaga-jaga dan serius dengan pelaksanaan PKP malah tidak berani bergerak keluar rumah dan ke bandar sepanjang PKP dilaksanakan.
Sehubunga itu, Dennis teruja dengan notis yang dipaparkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap persimpangan ke rumah panjang tidak membenarkan orang luar atau orang asing masuk ke kampung mereka tanpa kebenaran.
Mereka turut mendapatkan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berkawal di persimpangan rumah panjang sebagai langkah berjaga-jaga supaya orang asing tidak masuk ke kawasan kampung.
Sekiranya ingkar dengan arahan itu, penceroboh boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 hingga RM3,000.
“Ini menunjukkan bahawa penduduk luar bandar serius dengan PKP supaya jangkitan Covid -19 tidak menular ke kawasan pedalaman,”katanya ketika menyampaikan penerangan kepada penduduk Ba Pakan Sg. Akah Ulu Baram dalam lawatan beliau ke kampung berkenaan baru-baru ini.
Jelasnya, beliau memberi penerangan kepada penduduk kampung luar bandar memandangkan kawasan tersebut tiada talian komunikasi , radio atau televisyen untuk mereka mengikuti perkembangan semasa berhubung Covid-19.