KUCHING: Semua lapisan masyarakat, samada di bandar mahupun di kawasan luar bandar harus bersabar dan jangan panik terutamanya berkaitan dengan bekalan makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Wabak Covid-19.
Datuk Naroden Marais, salah seorang Ahli Jawatankuasa Rantaian Makanan Semasa Covid-19 berkata, maklumbalas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang bertanggungjawab keatas Pembekalan makanan di Sarawak menyatakan bekalan barangan makanan kita masih dalam terkawal dan mencukupi bagi setiap bahagian, daerah malah di kawasan kampung dan pedalaman.
“Pertama, kita semua harus faham yang Sarawak mempunyai dua sistem pembekalan dan penjualan dimana dibawah KPDNHEP ada 800 buah “Points Of Sales” (POS) dikawasan luarbandar dan pedalaman.”
Jelas Naroden lagi, POS ini adalah terdiri daripada kedai-kedai runcit yang menjual barangan asas yang terkawal berdaftar dibawah KPDNHEP dan penghantaran barangan ini dikawal oleh agensi tersebut dari masa ke semasa mengikut permintaan dan bekalan atau mengikut permintaan dalam kawasan tersebut.
“POS membeli barangan mereka daripada pemborong yang ada di pekan yang berdekatan dan sebagai contoh, bagi Kampung Nanga Merit dalam bahagian Kapit terdapat tiga buah POS dan semua barangan mereka telah dihantar bagi tujuan “di isi semula” oleh pengedar mereka atas arahan agensi tersebut supaya masyarakat di kawasan boleh membeli keperluan mereka.”
Tambahnya lagi, selain daripada 800 POS, kita ada juga kedai runcit yang bukan dibawah seliaan KPDNHEP dimana barangan mereka dibeli secara langsung daripada pengedar masing-masing.
“Untuk barangan bantuan “Sarawakku Sayang” semasa Covid19, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan RM200,000 bagi setiap 82 kawasan DUN melalui Akaun Jawatankuasa Bencana Bahagian (JBB) untuk membeli barangan makanan keperluan asas bagi semua kawasan DUN seluruh Sarawak.”
Ujarnya lagi, tapi perlu diingatkan, bahawa Pembelian dan Pembekalan oleh JBB dan Daerah dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN tidaklah semudah yang kebanyakan kita fikirkan dimana kita harus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kerajaan walaupun ada Peraturan Kelonggaran dari Setiausaha Kewangan Kerajaan Negeri kepada semua JK Bencana Bahagian dan Daerah untuk membeli terus melalui Perolehan Darurat kerana wabak Covid-19 semasa PKP ini.
“Perlu juga kita ingatkan segala pembelian nanti harus mengikut SOP yang telah ditetapkan, supaya kita tidak bercanggah dengan SOP pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya.”
Naroden juga memohon keperihatinan para pemborong supaya tidak terlalu “tegas” waktu ini sebagai contoh tidak menerima pembayaran melalui Cheq dan mahu tunai sahaja kerana setiap pembayaran adalah terjamin cuma ia hanya memerlukan sedikit masa untuk diproses pembayarannya.
“Jaga kesihatan diri, akur dengan arahan PKP dan bersama-samalah kita berdoa agar Wabak Covid-19 ini cepat berlalu,” katanya di akhir sesi temuramah bersama wartawan menerusi applikasi Whatsapp semalam.