KUCHING: Semua rakyat negeri ini tanpa mengira di bandar atau luar bandar diingatkan untuk terus bersama mengekalkan perpaduan kaum yang sedia ada, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom (gambar).
Menurut beliau, pembangunan sesebuah negara atau negeri itu tidak akan dapat dicapai sekiranya ada perpecahan dikalangan rakyat pelbagai kaumnya kerana ia menjejaskan pentadbiran pemerintahan.
“Jika kita bersatu padu sebagai sebuah bangsa Malaysia, kita akan terus bergerak ke hadapan tetapi sekiranya kita berpecah atau tersilap langkah maka hala tuju menjadi sebuah negara maju tergendala.
“Dengan mengambil contoh sepanjang 63 tahun kita Merdeka, ia bukan satu perkara senang untuk dicapai atau diberikan begitu sahaja tetapi ia adalah hasil daripada perpaduan semua bangsa dalam memajukan negara.
“Kita perlu ingat perkara kecil juga kadang kala boleh mencetuskan perpecahan kita, maka itu bersamalah kita, sama ada kita di Pakan atau yang mana sahaja untuk terus mengekalkan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian merasmikan Program Merdeka@Komuniti 2020 sempena sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Jabatan Penerangan Daerah Pakan di Rumah Janang, Sungai Wong, Pakan pada Selasa.
Mawan berkata, bukan sahaja perpaduan dikalangan kaum, tetapi juga hubungan baik antara kerajaan negeri dan persekutuan juga harus dikekalkan agar rakyat mendapat manfaat pembangunan yang diberikan.
“Hubungan yang baik peringkat nasional dan negeri juga amat penting dimana sekarang kita dapat melihat antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), banyak dasar telah dilaksanakan.
“Ini menunjukkan kedua-duanya adalah sehati dan sebagai contoh dalam menghadapi wabak Covid-19, kerajaan persekutuan telah mewujudkan dasar yang merangkumi semua rakyat termasuk di Sarawak,” tegasnya.
Bagi kerajaan negeri sendiri kata Mawan, banyak perancangan dan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan GPS termasuk di kawasan Pakan.
Bukan sahaja kemudahan berlandaskan bekalan elektrik, bekalan air dan jalan raya malahan katanya kerajaan negeri telah mencadangkan pelan induk pembangunan menyeluruh bagi kawasan Pakan, yang meningkatkan sosio ekonomi di daerah itu.
Katanya, hampir 100 peratus masyarakat di Pakan menerima bekalan elektrik sementara 60 peratus telah menerima bekalan air, yang mana ia akan diperluaskan lagi bekalan dari masa ke masa.
Bagi projek jalan raya kata beliau, antara yang paling ketara adalah projek jalan ke ulu Julau yang merangkumi tiga fasa, dengan fasa pertama yang menelan kos RM61 juta diikuti fasa kedua (RM122 juta) dan fasa ketiga (RM139 juta).
Sementara itu mengenai program yang dianjurkan, Mawan berharap semua masyarakat bersama-sama menghayati erti kemerdekaan yang dicapai oleh negara ini.
Katanya, ia amat penting untuk dihayati agar dapat menghargai sumbangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu.