SIDANG MEDIA… Martin Ben ketika ditemui media pada majlis penutupan Program Advokasi Kepenggunaan: Pemerkasaan Peranan Pengguna Daerah Serian di Dewan Persidangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Serian), semalam.
SERIAN: Masyarakat setempat harus membantu pihak agensi kerajaan dalam membendung salah laku para peniaga di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben berkata, penglibatan masyarakat akan meningkatkan keberkesanan inisiatif pihak kerajaan bagi menangani isu kepenggunaan.
Menurutnya, program advokasi kepenggunaan penting bagi meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam membina pengetahuan, kemahiran, nilai dan kapasiti sekaligus memainkan peranan sebagai pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.
“Para peserta program juga perlu berganding bahu menyebarkan maklumat yang telah dikongsikan mengenai isu-isu kepenggunaan kepada penduduk di kawasan masing-masing.
“Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut sentiasa mempertingkatkan usaha menyebarkan maklumat kepada masyarakat terutama isu penipuan dalam talian yang masih merupakan aduan tertinggi diterima di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Program Advokasi Kepenggunaan: Pemerkasaan Peranan Pengguna Daerah Serian di Dewan Persidangan Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Bahagian Serian), semalam.
Dalam pada itu, ketika ditemui media sejurus selepas majlis penutupan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup memberitahu, Kerajaan Sarawak turut berusaha melaksanakan pelbagai pendekatan bagi menghadapi inflasi yang menjejaskan kos sara hidup rakyat.
“Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak kerana ini adalah keadaan ekonomi yang dapat kita jangka setelah berdepan dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas.
“Sebagai contoh, kerajaan kita masih mengekalkan harga rendah bagi harga petrol sedangkan beberapa buah negara mengalami keadaan yang lebih teruk daripada kita yang turut berhadapan dengan inflasi sekarang ini,” katanya.
Turut hadir dalam majlis penutupan program ialah ADUN Bukit Semuja, John Ilus.
Oleh JEAKQLEYN YACHO