Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Rakyat Colombia keluar mengundi Ahad ini untuk pilih presiden baharu
  • GLOBAL

Rakyat Colombia keluar mengundi Ahad ini untuk pilih presiden baharu

Utusan Sarawak 3 hours ago
RAKYAT Colombia keluar mengundi Ahad ini untuk pilih presiden baharu. Foto hiasan.

BOGOTA: Rakyat Colombia akan keluar mengundi pada Ahad untuk memilih presiden baharu negara itu bagi penggal 2026-2030, lapor Agensi Anadolu (AA).

Walaupun terdapat 14 calon bersaing dalam pusingan pertama, persaingan dijangka tertumpu kepada calon gabungan pemerintah Ivan Cepeda, Abelardo de la Espriella, dan Paloma Valencia yang mendapat sokongan bekas Presiden Alvaro Uribe.

Cepeda yang kini merupakan seorang senator dan calon bagi Pakatan Sejarah (Pacto Historico), dilihat sebagai pengganti politik kepada Presiden Gustavo Petro dan mendahului tinjauan pendapat di seluruh negara.

Beliau dikenali sebagai anak kepada pemimpin komunis Manuel Cepeda Vargas yang dibunuh oleh kumpulan separa tentera pada 1994.

Setelah menghabiskan sebahagian daripada hidupnya dalam buangan akibat ancaman pembunuhan terhadap keluarganya, Cepeda kemudiannya menerima idea sosialis moden dan reformis.

Jika dipilih, Cepeda berikrar untuk meneruskan reformasi sosial Petro, memerangi rasuah, mengurangkan ketidaksamaan, melaksanakan pembaharuan institusi, dan memperkukuh keamanan melalui dialog.

Peguam dan ahli perniagaan Abelardo de la Espriella pula secara terbuka menyatakan kekagumannya terhadap Presiden El Salvador Nayib Bukele dan berhasrat untuk mencontohi pendekatan pemimpin Salvador itu dalam dasar keselamatannya.

Antara manifesto utama kempen beliau termasuk membina 10 ‘penjara mega’, menamatkan dasar ‘Keamanan Mutlak’ pentadbiran Petro, serta menerapkan strategi ketenteraan yang lebih keras terhadap pengedaran dadah dan kumpulan bersenjata.

Bertanding di bawah slogan ‘Pembela Tanah Air’, bekas anak guam De la Espriella termasuk ahli perniagaan Venezuela, Alex Saab, yang baru-baru ini diekstradisi ke AS atas pertuduhan pengubahan wang haram serta sekatan, dan dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Venezuela Nicolas Maduro.

De la Espriella berada di kedudukan kedua dalam tinjauan pendapat dan mengadakan kempen di sebalik cermin kalis peluru susulan ancaman bunuh.

Sementara itu, Valencia yang merupakan calon parti Pusat Demokratik pimpinan bekas Presiden Alvaro Uribe, berhasrat untuk mengembalikan gerakan politik sayap kanan berpengaruh yang dikenali sebagai ‘Uribismo’ ke tampuk kuasa.

Sebagai pengkritik lantang terhadap dasar keselamatan kerajaan, beliau berikrar untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan serta mengambil 60,000 tambahan anggota tentera dan polis.

Valencia juga menyokong pelaksanaan ‘Plan Colombia 2.0’ yang dicontohi daripada usaha kerjasama antidadah AS-Colombia sebelum ini, menurunkan cukai, serta melabur lebih banyak dalam sumber tenaga alternatif.

Sebagai ahli daripada salah sebuah keluarga politik terkemuka di Colombia, Valencia merupakan cucu kepada bekas Presiden konservatif Guillermo Leon Valencia.

Bekas Gabenor Antioquia Sergio Fajardo dan bekas Datuk Bandar Bogota Claudia Lopez juga antara yang bertanding sebagai calon.

Bagaimanapun, kedua-duanya ketinggalan dalam tinjauan pendapat berikutan kesukaran untuk mengukuhkan sokongan terhadap politik berhaluan tengah kerana pengundi didapati lebih cenderung kepada kedudukan politik yang lebih jelas.

Calon-calon lain termasuk bekas menteri Daniel Palacios dan Mauricio Lizcano, ahli perniagaan Santiago Botero, peguam Sondra Macollins, serta bekas duta Colombia ke London Roy Barreras.

Setakat ini, tiada firma pengundian yang melihat mereka mempunyai peluang realistik untuk menang.

Berdasarkan tinjauan pendapat di peringkat nasional, Cepeda mendahului dengan purata sokongan sebanyak 37.8 peratus. Beliau diikuti oleh De la Espriella dengan 28.1 peratus, manakala Valencia memperoleh 18.6 peratus.

Calon-calon lain dan pengundi yang belum membuat keputusan merangkumi baki 15.5 peratus.

Calon yang berjaya memperoleh lebih daripada 50 peratus undi pada pusingan pertama akan dipilih sebagai presiden. Jika tidak, pilihan raya akan dilanjutkan ke pusingan penentuan pada 21 Jun. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Jemaah haji berangkat pulang terima naskhah al-Quran dalam 80 bahasa di terminal Jeddah
Next: Vietnam bebaskan hampir 10,000 banduan sempena pilihan raya parlimen

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.