MIRI: Pengukuhan perpaduan memerlukan penglibatan rakyat semua.
Oleh itu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengambil inisiatif untuk melibatkan semua rakyat di akar umbi dalam penghasilan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.
Menteri Muda Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus berkata, pembabitan rakyat berbilang kaum dalam program sesi maklum balas rakyat berhubung draf PTPN tersebut penting untuk mendapatkan input bagi meningkatkan semula penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan orang awam digesa untuk memberi idea serta cadangan untuk dimasukkan ke dalam pelan berkenaan supaya pelaksanaannya dapat memberi impak kepada perpaduan negara.
“Penganjuran program sesi maklum balas berhubung PTPN 2021-2025 ini adalah usaha yang bermakna sebab kita kadang kala melakukan sesuatu untuk masa depan tetapi tidak melibatkan akar umbi.
“Jadi untuk PTPN kali ini, kita semua terlibat maksudnya, seluruh rakyat Sarawak terlibat dalam memberi input kepada pengisian PTPN ini.
“Input daripada rakyat berbilang kaum ini nanti akan diambil kira dalam memurnikan draf PTPN,” katanya pada Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf PTPN 2021-2025 di Dewan Kelab Rekreasi Petroliam Lutong di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Rosey berkata, PTPN merupakan rangka kerja yang perlu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dan berteraskan kepada rukun negara dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat negara ini.
Katanya, pelan berkenaan adalah bersifat spesifik, inklusif dan holistik.
“Oleh itu, PTPN kali ini bakal menganduni usaha serta program khusus dalam menyelesaikan isu berkaitan perpaduan bagi mengurangkan ketegangan, konflik dan polarisasi kaum,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Miri, Giri Nyareng.
Oleh Liong Chai ling