NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Rakyat terus patuh dengan keputusan kerajaan untuk melanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei ini demi mengekang penularan wabak Covid-19.
Mengulas lanjut mengenai perlanjutan PKP tersebut, Maria Salim,50, berkata, beliau sudah menjangka kerajaan akan melanjutkan tempoh PKP untuk fasa seterusnya berikutan pandemik Covid-19 ini belum pulih sepenuhnya.
Katanya, perlanjutan tersebutan memang sudah dijangka memandangkan masih terdapat kes-kes baharu yang dilaporkan setiap hari.
“Walaupun tiada peningkatan ketara kes harian, namun rantaian jangkitan Covid-19 ini masih gagal diputuskan sepenuhnya sehingga kini.
“Jadi, tidak mustahil jika PKP ini akan terus dilanjutkan sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Jelasnya , langkah kerajaan melanjutkan tempoh PKP selama dua minggu lagi bukan keputusan yang mudah.
“Saya percaya keputusan yang dibuat Kerajaan Persekutuan ini merupakan keputusan yang tepat dan terbaik selepas mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh semua pihak.
“Ini bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikekang sepenuhnya,” ujarnya.
Senada dengan itu, Suriati Mohamad, 40, berkata, beliau tetap akur dengan perlanjutan tempoh PKP kerana soal nyawa serta keselamatan orang awam tidak boleh dikompromi.
“Kerajaan sedaya upaya untuk membebaskan negara kita daripada ancaman Covid-19.
“Saya percaya kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk melanjutkan PKP kerana jumlah kes jangkitan Covid-19 masih belum reda sepenunya,” katanya.
Sungguhpun terkesan dengan PKP kerana tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga di Sibu sejak pelaksaaan PKP 18 Mac lalu, Suriati yakin dengan segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan pada masa ini, penularan Covid-19 akan berakhir tidak lama lagi.
“Kebiasaannya, puasa pertama saya akan balik ke Sibu untuk berbuka puasa bersama keluarga.
“Tahun ini mungkin tidak dapat pulang kerana PKP telah dilanjutkan.
“Bagaimanapun, saya akur akan langkah ini,” katanya yang kini bertugas di sebuah jabatan awam di Bintulu.