
DOHA: Qatar dan Mesir menegaskan bahawa usaha pengantaraan di Semenanjung Gaza masih berjalan, konsisten dan berlandaskan visi bersama demi menamatkan krisis kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini serta mengurangkan penderitaan orang awam dengan mewujudkan syarat-syarat diperlukan ke arah gencatan senjata yang komprehensif.
Kedua-dua negara menekankan bahawa sebarang percubaan untuk menimbulkan perpecahan antara negara-negara bersaudara sama ada melalui keraguan, penyelewengan atau ketegangan, media tidak akan berjaya dan tidak akan melemahkan usaha bersama mereka untuk menamatkan peperangan serta krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Qatar dan Mesir turut mengulangi pendirian bahawa mereka tidak akan terheret dalam sebarang isu dalaman atau agenda sampingan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Palestin.
Kedua-dua negara sekali lagi menegaskan komitmen teguh mereka terhadap kerangka kerja yang jelas, memfokuskan kepada pengurangan penderitaan, usaha meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian berkekalan.
Qatar dan Mesir turut mengesahkan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai persetujuan yang dapat menamatkan tragedi kemanusiaan dan memastikan perlindungan terhadap orang awam.
– Bernama