
MOSCOW: Presiden Rusia Vladimir Putin meneruskan siri pertemuan dengan pemimpin asing yang berada di Moscow selama empat hari sempena sambutan Hari Kemenangan, lapor agensi berita TASS.
Pada Khamis, Putin dijadual mengadakan perbincangan dengan Presiden China Xi Jinping, yang sedang dalam lawatan rasmi ke Rusia.
Pertemuan itu menandakan interaksi ketiga antara kedua-dua pemimpin tahun ini, selepas persidangan video pada Januari dan perbualan telefon pada akhir Februari.
Menurut kenyataan perkhidmatan media Kremlin, perbincangan kali ini akan menumpukan kepada pengukuhan perkongsian strategik menyeluruh Rusia-China, dengan rundingan strategik dijangka melibatkan isu-isu serantau dan antarabangsa.
Pembantu Presiden Rusia, Yury Ushakov berkata kedua-dua pemimpin juga akan memberi tumpuan kepada projek seperti saluran paip gas Power of Siberia-2, serta dijangka menyentuh isu Ukraine dan hubungan Rusia-Amerika Syarikat.
Putin dan Xi dijangka menandatangani dua kenyataan bersama berhubung kestabilan strategik serta berkaitan pengukuhan kerjasama menyeluruh dan dijadual mengadakan sidang media bersama selepas pertemuan itu.
Beberapa perjanjian antara kerajaan dan kementerian turut dijangka dimeterai ketika lawatan itu.
Pertemuan dengan pemimpin asing lain akan diteruskan pada 9 dan 10 Mei.
Seramai 27 pemimpin asing dijangka berada di Moscow pada 9 Mei. — Bernama-Tass