
OSLO, Norway: Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, yang menghidap penyakit paru-paru tidak boleh sembuh dan keadaan kesihatannya semakin merosot kebelakangan ini, telah dimasukkan dalam senarai menunggu untuk menjalani pemindahan paru-paru, menurut pengumuman istana diraja pada Jumaat.
Mette-Marit, 52 tahun, didiagnosis pada 2018 dengan sejenis fibrosis pulmonari yang jarang berlaku dan menyebabkan kesukaran bernafas, sekali gus memaksanya beberapa kali mengambil cuti sakit atau mengurangkan tugas rasmi.
“Perkembangan penyakit paru-paru Puteri Mahkota adalah serius. Selepas penilaian perubatan menyeluruh, beliau kini dimasukkan dalam senarai pesakit yang akan menjalani pemindahan paru-paru sebaik sahaja ia boleh dilakukan,” kata pakar paru-paru di Hospital Universiti Oslo Rikshospitalet, Are Holm, dalam kenyataan istana.
Sementara menunggu pembedahan, Puteri Mahkota tidak lagi dapat melaksanakan tugas rasmi, kata istana, sambil menambah bahawa keadaan kesihatannya turut memberi kesan terhadap tugas dan aktiviti Putera Mahkota serta ahli keluarga diraja yang lain.
Istana sebelum ini telah mengumumkan pada Disember bahawa Puteri Mahkota mungkin memerlukan pemindahan paru-paru.

Sambutan ulang tahun perkahwinan perak pasangan diraja itu yang dijadualkan pada Ogos 2026 turut ditangguhkan, dan mereka juga tidak akan menghadiri sambutan ulang tahun perkahwinan emas pasangan diraja Sweden di Stockholm pada 13 Jun, menurut istana.
Suami beliau, Putera Mahkota Haakon, baru-baru ini memendekkan lawatan ke Jepun untuk berada di sisi isterinya.
Anak perempuan mereka, Puteri Ingrid Alexandra, turut memutuskan untuk menghentikan sementara pengajian sains sosial di Universiti Sydney bagi menemani ibunya di Norway dan akan berada di Oslo sepanjang musim luruh.
Puteri Mahkota itu kebelakangan ini dilihat di khalayak umum menggunakan tiub pernafasan yang disambungkan kepada alat oksigen yang dibawa oleh kakitangan istana.
Mette-Marit, yang berkahwin dengan Haakon pada 2001, melalui beberapa bulan yang sukar di bawah perhatian umum.
Dokumen turut didedahkan pada Januari yang mendedahkan hubungan persahabatan serta hubungan kerap beliau dengan pesalah seks Amerika Syarikat yang telah disabitkan kesalahan, Jeffrey Epstein, antara 2011 hingga 2014.
Selain itu, anak lelakinya daripada hubungan terdahulu, Marius Borg Høiby, dibicarakan awal tahun ini atas pertuduhan rogol yang dinafikan olehnya.
Keputusan perbicaraan dijangka pada 15 Jun.
Høiby dilaporkan memohon untuk dibebaskan sementara menunggu keputusan mahkamah kerana keadaan kesihatan ibunya, kata peguamnya, Petar Sekulic kepada media Norway pada Jumaat. — AFP