Puteri Mahkota Norway dijangka jalani pemindahan paru-paru

Facebook
WhatsApp
GAMBAR menunjukkan Raja Norway, Harald; Permaisuri Sonja; Puteri Mahkota Mette-Marit; Puteri Ingrid Alexandra; dan Putera Mahkota Haakon disambut oleh Datuk Bandar Oslo, Anne Lindboe, ketika mereka tiba di Dewan Bandaraya Oslo untuk menghadiri majlis Anugerah Keamanan Nobel 2025, pada 10 Disember 2025 di Oslo, Norway. Foto AFP

OSLO, Norway: Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, 52, yang menghidap penyakit paru-paru kronik, dijangka perlu menjalani pemindahan paru-paru susulan “kemerosotan jelas.” menurut istana semalam.

“Kita semakin menghampiri masa yang mana pemindahan paru-paru mesti dijalankan, dan kami sedang membuat persiapan supaya ia dapat dilakukan apabila tiba masanya,” kata Are Martin Holm, ketua perubatan pulmonari di Hospital Universiti Oslo, dalam kenyataan istana.

Puteri itu mengumumkan pada Oktober 2018 bahawa beliau didiagnosis menghidap fibrosis pulmonari yang jarang berlaku, satu penyakit tidak dapat disembuhkan menyebabkan parut pada paru-paru dan sesak nafas.

GAMBAR fail menunjukkan Puteri Mahkota Mette-Marit dari Norway kelihatan melalui tingkap pada sebuah pintu ketika beliau melawat Hospital Ullevål, Oslo, Norway, pada 5 Mac 2025. Foto APF

 “Belum diputuskan bila puteri mahkota akan dimasukkan ke senarai menunggu untuk pemindahan paru-paru,” kata Holm.

Atas kondisi kesihatannya, puteri itu kadang-kadang terpaksa menghadkan penampilan awam dan mengambil cuti sakit, terkini pada Oktober.

“Musim luruh ini, beberapa ujian menunjukkan kemerosotan jelas dalam kesihatan puteri mahkota,” kata istana.

Beliau dijangka terus menjalankan tugas awam selagi berasa cukup sihat. – AFP