KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak memperkukuh kehadirannya di persada antarabangsa menerusi penyertaan dalam Kongres Perpustakaan dan Maklumat Sedunia IFLA (IFLA WLIC) Ke-90, 2026 di Busan, Korea, yang berlangsung dari 10 hingga 13 Ogos lalu.
Lebih membanggakan, penyertaan kali ini merupakan penampilan sulung Pustaka Negeri Sarawak dengan sebuah Pavilion, sekali gus menyediakan ruang khusus untuk memperkenalkan Sarawak, koleksi, inisiatif serta usaha pemeliharaan warisan kepada komuniti perpustakaan dan maklumat antarabangsa.
Menerusi kongres berkenaan, Encik Ahmad Samsudin mewakili Pustaka Negeri Sarawak membentangkan kertas kerja bertemakan Memvisualisasikan Seni: Transformasi Multimedia dalam Perpustakaan (Visualizing Art: Multimedia Transformations in Libraries) pada 11 Ogos.
Pembentangan bertajuk Menghidupkan Lukisan: Inisiatif Inovasi Perpustakaan melalui Koleksi Interaktif Realiti Terimbuh (ARIC) itu mengetengahkan penerapan teknologi Realiti Terimbuh (AR) bagi mewujudkan pengalaman lebih interaktif kepada pengguna dalam meneroka koleksi seni dan warisan budaya.
Inisiatif ARIC turut memperlihatkan bagaimana teknologi baharu dapat dimanfaatkan dalam perkhidmatan perpustakaan bagi meningkatkan akses kepada koleksi, memperluas penglibatan masyarakat serta memperkenalkan pendekatan baharu dalam menghayati dan menghargai karya seni serta warisan budaya.
Pembentangan berkenaan mengetengahkan usaha Pustaka Negeri Sarawak mendekatkan warisan dan pengetahuan tempatan Sarawak kepada masyarakat menerusi inisiatif libat urus komuniti yang bermakna serta berteraskan keperluan masyarakat.
Usaha itu turut mencerminkan peranan Pustaka Negeri Sarawak dalam memperluas akses kepada sumber warisan selain menggalakkan masyarakat mengenali, menghargai dan bersama-sama memelihara khazanah budaya Sarawak.
Penyertaan dalam IFLA WLIC 2026 turut membuka ruang kepada delegasi Pustaka Negeri Sarawak untuk bertukar pandangan dan pengetahuan, meneroka perkembangan terkini sektor perpustakaan dan maklumat serta memperkukuh jaringan profesional di peringkat antarabangsa.
Platform itu juga memberi peluang kepada Pustaka Negeri Sarawak mengetengahkan pengalaman dan amalan terbaik perpustakaan di Sarawak dan Malaysia kepada komuniti perpustakaan dan maklumat global.
Menerusi penyertaan berkenaan, Pustaka Negeri Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi perpustakaan yang inovatif, progresif dan berorientasikan komuniti, selain membawa perspektif serta khazanah Sarawak ke persada dunia.
Oleh Shikin Mahmud





